Dr M: RCI siasat salah laku hakim belum muktamad

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan belum memuktamadkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan campur tangan badan kehakiman membabitkan salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai status terkini cadangan tersebut selepas 3 bulan kerajaan bersetuju untuk mengkaji keperluan diwujudkan suruhanjaya berkenaan berikutan pendedahan mengenai salah laku dan campur tangan hakim dalam keputusan mahkamah.

“Saya akan beritahu anda (pemberita) kemudian. Buat masa ini, kami masih belum muktamadkan apa-apa,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Terdahulu, pelbagai pihak mendesak supaya satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan segera berikutan pendedahan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer, mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.

Ia termasuk campur tangan dalam keputusan rayuan kes hasutan Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Kumpulan peguam bebas mendakwa telah mengumpul bukti campur tangan beberapa hakim mahkamah rendah dalam beberapa isu sensitif membabitkan politik.

Dr Mahathir juga dilaporkan berkata bahawa terpulang kepada suruhanjaya siasatan itu nanti tentang cara bagaimana siasatan dan pendakwaanakan dibuat berhubung isu berkenaan.

“Terma rujukan mengenai suruhanjaya itu akan ditentukan kemudian,” katanya sebelum ini.