Gaji lebih tinggi melalui latihan teknikal

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, pusat latihan kemahiran akan dibuka selepas waktu pejabat.

PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata hari ini, lebih banyak latihan teknikal akan di sediakan bagi membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran mereka dan juga gaji masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan menyedari bahawa gaji minimum RM1,100 adalah tidak mencukupi untuk menampung kehidupan pekerja.

Kerajaan akan menekankan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) sebagai kaedah bagi pekerja meningkatkan kemahiran serta memperkukuh kebolehpasaran mereka.

Kerajaan berharap dapat menambah peratus pekerja mahir di negara ini kepada 35% pada 2020 daripada 28% sekarang.

“Dicadangkan supaya Jabatan Tenaga Manusia membuka pusat latihan kemahiran selepas jam 5.30 petang bagi memastikan pekerja boleh mengambil bahagian dalam program yang ditawarkan selepas tamat masa bekerja mereka. Saya yakin jika cadangan ini berjaya dilaksanakan, ia boleh meningkatkan gaji pekerja sebanyak 10% hingga 20%,” katanya.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan di sini, beliau berkata, Singapura mempunyai kadar pensijilan yang sangat tinggi “dan mereka menekankan TVET bagi menambah gaji pekerja. Kita juga boleh capai tahap yang sama”.

Dalam Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan pembentukan dana TVET dengan peruntukan sebanyak RM30 juta. Program TVET kini ditawarkan di peringkat sijil, diploma dan ijazah melalui 7 kementerian.