Kerajaan tak ‘lega’ jika hapus tol, kata PM

Dr Mahathir berkata, manifesto PH mengenai penghapusan tol tidak mampu ditunaikan kerana akan membebankan kewangan kerajaan.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan berkemungkinan tidak mampu untuk menunaikan manifesto Pakatan Harapan (PH) berhubung penghapusan tol kerana ia akan membebankan kewangan negara.

“Rakyat mungkin lega sebab tak lerlu bayar tol, tapi kerajaan tak lega,” katanya dalam satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Kewangan Negara, di Kementerian Kewangan hari ini.

Kata Dr Mahathir, kerajaan memerlukan sekurangnya RM30 bilion untuk membeli seluruh rangkaian lebuh raya Plus bagi menunaikan hasrat tersebut.

“Lebih baik untuk guna duit tu buat bayar hutang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita mengenai kenyataan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin bahawa kerajaan PH berpotensi meraih semula sokongan rakyat dengan menurunkan harga barangan dan mengurangkan kadar tol sehingga 25%.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kenyataan itu merupakan pandangan yang diutarakan Daim dan kerajaan tidak membuat penelitian lanjut mengenainya.

“Memang ada cadangan daripada pihak swasta untuk kurangkan tol, tapi tak sampai 25% lah,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail hadir mesyuarat bersama para menteri besar dan ketua kerajaan negeri bagi membincangkan perihal urusan kewangan negeri masing-masing.