Langgar privasi… Army selar tindakan restoran kongsi video BTS makan

Pemilik restoran yang menyediakan makanan Korea di New York, Amerika Syarikat diserang peminat BTS di laman sosial gara-gara memuat naik video ahli kumpulan itu sedang menikmati makan malam.

Menurut portal Variety, peminat yang menggelarkan diri mereka Army itu menganggap tindakan pemilik restoran itu melanggar hak privasi ahli kumpulan tersebut.

Sebagai balasan, peminat membuat ulasan mengenai restoran bernama Baekjeong itu dengan memberikan rating rendah di aplikasi pencarian Yelp.

Difahamkan, boyband berasal dari Korea Selatan ini menikmati hidangan makan malam di restoran tersebut pada Selasa.

Pemilik restoran iaitu Bobby Kwak dalam diam merakam video BTS sedang menjamu selera dan memuat naik di media sosial miliknya.

Malah, ada peminat berasa kurang senang dengan kapsyen ditulis Bobby lalu mereka menyerbu aplikasi Yelp dan memberi kritikan mengenai restoran tersebut.

Tidak lama kemudian, Bobby membuat permohonan maaf di laman sosialnya dan menafikan dakwaan kononnya dia menggunakan kamera tersembunyi.

Namun, peminat masih belum boleh menerima maaf tersebut dan terus menyerang dan meluahkan kekesalan di ruangan komen.

Sumber: Variety dan CNN

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]