Larangan AS ke atas Huawei beri peluang pada Malaysia?

PETALING JAYA: Perang perdagangan antara Washington dan Beijing, khasnya susulan larangan dikenakan President Donald Trump ke atas gergasi teknologi China Huawei, mungkin ialah berita baik bagi pengeluar komponen telefon pintar Malaysia, kata seorang pakar ekonomi.

Barjoyai Bardai berkata, Malaysia yang sudah mengeluarkan bahagian telefon pintar untuk dieksport, kini boleh menggantikan peranan China dalam membekalkan cip dan komponen.

Katanya, China juga boleh mengikat kontrak dengan syarikat Malaysia yang mempunyai kepakaran dan teknologi dalam pembuatan komponen itu.

“Kita berpeluang mendapat manfaat daripada krisis ini kerana kita sebenarnya akan mencipta bidang khusus dalam membekalkan bahagian itu,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Komponen telefon pintar merangkumi lebih 16% jumlah eksport Malaysia pada Oktober 2017.

Baru-baru ini, akhbar The Economist melaporkan firma Amerika Syarikat akan kerugian AS$10 bilion setahun dalam hasil pelesenan bagi cip dan komponen.

Katanya, sebahagian besar indutri pembuatan perkakasan China bergantung kepada komponen AS yang tidak mudah didapati dari tempat lain atau dihasilkan di negara itu.

Trump baru-baru ini menandatangani satu arahan eksekutif untuk mengharamkan peralatan Huawei daripada rangkaian AS menyebabkan timbul kebimbangan syarikat China lain mungkin berdepan tindakan sama.

Barjoyai berkata, halangan mungkin wujud jika pembekal Malaysia juga pengeluar AS bagi bahagian telefon bimbit.

“Mereka mungkin mendapat arahan tidak langsung dari AS untuk tidak membekal atau bekerjasama dengan syarikat China.

“Jika itu berlaku, kita mungkin hilang peluang.”

Tetapi katanya, bukan hilang semuanya kerana syarikat usaha sama baru boleh dibentuk bersama China.

“Malaysia boleh membuka langkah pertama untuk memulakan kerjasama itu dan ia boleh dilakukan di peringkat kerajaan kepada kerajaan.”

Barjoyai berkata, satu lagi cara ialah memasang telefon pintar itu di Malaysia.

Tetapi, ini bergantung kepada sama ada terdapat keperluan mendesak bagi China menjalin kerjasama itu.

“Isu penting di sini ialah sama ada China sangat terdesak untuk memulakan kerjasama dengan Malaysia.”

Pakar ekonomi, Hoo Ke Ping bersetuju ketegangan memuncak antara AS dan China boleh membawa lebih banyak perniagaan kepada pemain serantau lain.

Katanya, syarikat multinasional yang disasarkan Trump mempertimbangkan untuk menubuhkan pangkalan baru di Vietnam, Bangladesh, Singapura dan Malaysia.

“Jadi persoalannya, bagaimana perang ini memanfaatkan atau menjejaskan Malaysia? Dalam jangka pendek, banyak kilang Malaysia akan terima lebih banyak tempahan. Mereka boleh menjual bahagian itu terus kepada AS berbanding syarikat China.”

Tetapi, Hoo memberi amaran perang teknologi penuh AS-China akan memudaratkan negara lain dalam jangka panjang, termasuk Malaysia.

Katanya, perang perdagangan boleh menyebabkan pengurangan dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar di seluruh dunia.

“Ini bermakna negara perdagangan seperti Malaysia akan teruk terjejas, sama ada dari segi kewangan atau perdagangan. Komiditi semua akan ditindas, tidak kira balak, minyak sawit, petroleum atau elektronik.

“Impak keseluruhan tidak baik untuk Malaysia. Jika perang perdagangan berterusan, kita mungkin berdepan kemelesetan lebih cepat.”