Mahkamah akan bicara semula keputusan kes ‘bin Abdullah’

PUTRAJAYA: Panel 7 hakim Mahkamah Persekutuan akan membicarakan semula satu rayuan sama ada anak luar nikah beragama Islam boleh dibinkan nama bapa kandungnya.

Peguam, Nizam Bashir berkata Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Norhafizah Zainal Abidin sudah memaklumkan pihak terbabit, Hakim Ahmad Maarop yang merupakan baki ahli panel mendengar rayuan itu tahun lalu, tidak akan menyampaikan keputusan.

“Perbicaraan semula itu ditetapkan 16 Ogos ini, tetapi satu lagi pengurusan kes akan diadakan 28 Jun ini,” katanya kepada wartawan selepas pengurusan kes di depan Norhafizah hari ini.

Nizam mewakili ibu bapa kanak-kanak lelaki dalam rayuan itu, manakala peguam kanan persekutuan, Mazlifah Ayod mewakili Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta kerajaan.

Peguam, Zulsyami Hussaini Kamarulzaman dan Halimatul Saadiah mewakili Majlis Agama Islam Johor serta Selangor.

Pada 7 Februari 2018, panel 5 hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Md Raus Sharif mendengar rayuan itu, tetapi menangguhkan keputusannya.

Ahli lain dalam panel itu adalah Ahmad, Hasan Lah, Aziah Ali dan Balia Yusof Wahi. Semua hakim itu sudah bersara, kecuali Ahmad.

Di bawah Seksyen 78 (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, minimum 2 hakim diperlukan untuk menyampaikan penghakiman Mahkamah Persekutuan.

Fokus isu itu sebelum ini ialah sama ada Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tertakluk kepada orang bukan Islam saja.

Isu kedua sama ada nama keluarga hanya boleh menggunakan nama bapa.

Mahkamah Persekutuan turut diminta memutuskan sama ada dekri penamaan kanak-kanak oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tertakluk kepada JPN dan sama ada mahkamah sivil atau syariah perlu menentukan penamaan seorang kanak-kanak Islam.

Menurut satu fatwa pada 1981, anak tidak sah taraf perlu diberi nama “bin Abdullah” atau “binti Abdullah”.

Satu fatwa pada 2003 menetapkan kanak-kanak tidak sah taraf tidak boleh berbinkan nama bapa kandung atau individu yang mendakwa dirinya bapa kepada kanak-kanak itu.

Pada 2017, Mahkamah Rayuan memutuskan bidang kuasa ketua pengarah JPN adalah sivil dan terhad dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak memenuhi keperluan di bawah BDRA.

Hakim, Abdul Rahman Sebli yang menyampaikan penghakiman itu berkata, akta itu sebagai undang-undang persekutuan meliputi semua kanak-kanak tidak sah taraf, tidak kira Islam atau bukan Islam.

Bagi kes ini, kanak-kanak terbabit dilahirkan kurang 6 bulan selepas perkahwinan ibu bapanya, tetapi ia dianggap tidak sah di bawah undang-undang syariah.

Kelahiran kanak-kanak itu didaftarkan 2 tahun kemudian pada 2011 di bawah Seksyen 12 BDRA.

Kedua ibu bapanya yang berasal dari Johor, memohon kepada JPN di bawah Seksyen 13 BDRA untuk meletak nama bapa dalam sijil kelahiran.

Bagaimanapun, dokumen itu tertera nama “bin Abdullah”.

JPN enggan menggantikan nama bapa kandung itu atas alasan anak itu tidak sah taraf.

Ibu bapa itu kemudiannya memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 2016.

Mereka kalah di Mahkamah Tinggi, tetapi keputusan itu diterbalikkan Mahkamah Rayuan pada 2017.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahasa dalam Seksyen 13A (2) BDRA adalah jelas dan tiada perbezaan antara pendaftaran kanak-kanak Islam serta bukan Islam.

Ia turut menyatakan keputusan JPN merujuk fatwa adalah salah kerana fatwa pada 2003 melanggar Seksyen 13A (2) secara langsung.

Ia menyatakan nama keluarga kanak-kanak tidak sah taraf boleh dinamakan sempena nama ibu, jika beliau sedia memberikan maklumatnya, atau bapa itu mendaftar dirinya sebagai bapa kanak-kanak itu di bawah Seksyen 13 dan meminta kanak-kanak itu dibinkan namanya.

Tidak dinyatakan penggunakan “bin Abdullah” sebagai nama keluarga.