Matrikulasi: Umno kecewa Maszlee teruja cadangan Pemuda DAP

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Umno berkata pihaknya kecewa dengan keterujaan Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyambut gesaan Pemuda DAP berhubung isu matrikulasi.

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin berkata gesaan sedemikian sarat dengan dengan motif politik dan retorik kosong yang sangat mengelirukan.

“Yang peliknya adalah ketidaktelitian menteri untuk terlebih dahulu menganalisis isu ini dalam konteks yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee mencadangkan Kementerian Pendidikan menyelesaikan ketidaksamarataan yang besar dalam status quo di bawah sistem penapisan untuk peperiksaan matrikulasi, bagi memastikan peluang yang lebih adil untuk pelajar STPM dan matrikulasi.

Ia juga menggesa kajian semula sistem penggredan kokurikulum dan mempertimbangkan penyerapan tempat sebanyak 15,000 di asasi sebagai sebahagian daripada program matrikulasi

Pemuda DAP juga menggesa kementerian membuka peluang kemasukan tambahan bagi 2,000 pelajar teratas mengikut markah CGPA tanpa kira kaum serta mewujudkan silibus dan sistem pengredan di antara STPM dan Matrikulasi menjelang 2020.

Maszlee kemudian dilaporkan berkata pihaknya sedang meneliti cadangan yang dikemukakan Pemuda DAP itu.

“Pandangan dengan idea konkrit dan bernas sudah tentu akan menggalakkan lebih banyak perbincangan bermanfaat untuk rakyat di negara ini dan usaha serta pemikiran rasional seperti Howard akan membantu KPM memberikan yang terbaik buat semua anak-anak Malaysia,” kata Maszlee.

Mengulas lanjut, Khaled berkata Maszlee mesti memberi perhatian dalam mempertimbangkan apa-apa cadangan yang diberikan mana-mana parti politik.

Beliau berkata cadangan Pemuda DAP yang mahu kerajaan menjadikan ranking pelajar dan CGPA sebagai kaedah kemasukan universiti adalah bukti jelas bentuk pemikiran dan parti itu menuntut kesamarataan mutlak.

“Ia menunjukkan betapa mereka tidak faham atau sengaja bertindak tidak faham bahawa pendidikan bukan sahaja tentang siapa yang paling cemerlang dan mendapat markah tinggi,” katanya.

Beliau mengakui merit dan kecemerlangan mesti menjadi nadi pendidikan tetapi berkata peluang membetulkan jurang dan membaiki diri serta susun atur masyarakat adalah perkara yang tidak boleh diketepikan sama sekali.

Khaled turut menyarankan Maszlee lebih prihatin dan sensitif terhadap sistem negara dan keadaan masyarakat.

“Kita tidak boleh sesekali menafikan jurang dan kesenjangan yang ada dalam masyarakat.

“Jangan sampai dasar kita kelak hanya memastikan yang pandai dan kaya mendapat tempat sedangkan yang kurang bernasib baik tidak dibantu dengan peluang yang selayaknya.”