Peguam kerajaan, keluarga Adib tarik diri akibat arahan, kata sumber

Syazlin Mansor ialah satu-satunya peguam mewakili KPKT dan JBPM.

PETALING JAYA: Keputusan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim menarik diri daripada inkues menentukan punca kematian anggota bomba itu dipercayai akibat arahan pihak tertentu, kata sumber.

Sumber itu berkata, antara faktor pihak terbabit memberi arahan itu melalui sepucuk surat kerana tergugat dengan Syazlin Mansor yang lantang menyoal saksi sepanjang 36 hari inkues diadakan.

Sumber itu mendakwa KPKT turut menerima tekanan sama daripada pihak tertentu itu yang menyebabkan perbincangan diadakan sebelum arahan berkenaan dikeluarkan.

“Dalam prosiding, Syazlin begitu agresif mendapatkan keadilan buat arwah Adib ketika menyoal semua saksi.

“KPKT dan Syazlin tidak bersetuju dengan penarikan ini kerana mahu keadilan buat anggota bomba itu, tetapi demi keselamatan, mereka terpaksa membuat keputusan ini,” kata sumber itu kepada FMT.

Difahamkan, antara kandungan surat itu ialah Syazlin memalukan pihak pendakwaan dalam inkues Adib.

Syazlin ialah satu-satunya peguam mewakili KPKT dan JBPM, manakala keluarga Adib diwakili seorang lagi peguam, iaitu Ahmad Taufiq Baharum.

Syazlin memaklumkan keputusan penarikan diri itu sebaik saja prosiding hari ke-37 bermula di depan Koroner, Rofiah Mohamad, hari ini.

“Dengan penarikan diri saya, saya percaya Prof Shahrom Abd Wahid (bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia) sebagai saksi ke-29 yang dipanggil semula sebagai pakar dalam kes ini juga terbatal,” katanya dalam nada sebak di Mahkamah Koroner Shah Alam, pagi tadi.

Susulan itu, Rofiah menetapkan 26 Jun ini untuk memuktamadkan 3 isu utama, iaitu menentukan pengganti Syazlin sebagai peguam KPKT, JBPM dan keluarga Adib, memutuskan sama ada Shahrom akan dipanggil semula serta memilih pakar fizik sebagai saksi baru.

Timbul percanggahan pendapat antara Shahrom dan pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang melakukan bedah siasat ke atas Adib, yang boleh memberi petunjuk bagaimana anggota bomba itu cedera sebelum meninggal dunia pada 17 Disember 2018.

Kedua-dua doktor berhujah mengenai pengiraan daya impak van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan yang menyebabkan tulang rusuk Adib patah.

Pada 17 Mei lalu, keadaan dalam mahkamah tegang apabila Syazlin mengasak saksi ke-24, Hafizam yang dipanggil semula untuk memberi keterangan, dengan beberapa soalan.

“Saya bukan berniat mengelirukan mahkamah dan bukannya mahu dimalukan di mahkamah. Saya pun penjawat awam. Tak sepatutnya saya dimalukan dalam inkues,” kata Hafizam yang sebelum itu memberitahu mahkamah, kesan lebam pada badan Adib mungkin disebabkan manipulasi pesakit ketika dirawat di Institut Jantung Negara.

“Lebam boleh berlaku semasa rawatan. Hasil bedah siasat, lebam tak padan dengan kesan ditarik.”

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi FMT enggan mengulas keputusan penarikan diri peguam kementeriannya.

“Biar kami semak dulu status tersebut (keterangan Shahrom terbatal atau tidak),” katanya yang sedang mengadakan lawatan kerja di luar negara.

Bagaimanapun, Syazlin ketika dihubungi FMT berkata, keterangan Shahrom dalam prosiding inkues sebelum ini tidak terbatal.

“Testimoni Prof Shahrom sebelum ini tidak terbatal, cuma beliau sebagai saksi yang dipanggil semula yang terbaru ini sahaja terbatal.”