Penganut Islam termasuk Syiah, Ahmadiah berbuka puasa bersama di Indonesia

Antara tokoh agama dan penganut ASWJ, Syiah dan Ahmadiah yang menyertai diskusi agama dan majlis buka puasa intra-agama di Bandung, baru-baru ini. (Gambar VOA Indonesia)

PETALING JAYA: Penganut Islam Indonesia yang terdiri daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), Syiah dan Ahmadiah berkumpul dalam majlis berbuka puasa di Bandung, baru-baru ini.

Portal VOA Indonesia melaporkan majlis itu turut diadakan diskusi terbuka mengenai konsep “Imam Mahdi” yang dikatakan pertama kali dianjurkan.

Majlis dialog intra-agama itu diakhiri dengan berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah. Selain 3 kumpulan utama itu, turut hadir ialah wakil dari Kristian Protestan, Katolik, Ortodok dan Baha’i.

Memetik jurucakap ASWJ, Agus Zaina Mubarok berkata dialog tersebut makin berkualiti kerana ia berani membahas asas ajaran secara terbuka.

“Sebenarnya banyak yang sudah dilakukan. Kecuali kalau hal-hal yang bersifat sensitif secara umum, kita lakukan secara terbuka antara tokoh-tokoh agamanya saja,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli Ahmadiah berkata dialog itu sangat sihat dan berbeza dengan kebanyakan debat yang disiarkan di laman sosial terutama di Youtube.

“Ini sangat indah. Berharap ada dialog-dialog dan komunikasi yang sihat seperti ini supaya betul-betul negara kita aman, kemudian kita jauh daripada saling hasut,” katanya.

Manakala, Miftah Rahmat dari Ikatan Jamaah Ahlulbait Indonesia berkata dialog itu menjadi peluang untuk masyarakat merobohkan prasangka.

“Saya kira ini sangat konstruktif. Insyaallah silaturahim pertemuan seperti ini dapat mencairkan berbagai hal yang mungkin selama ini tidak sampai dengan memperbanyakkan ruang interaksi,” katanya.

Golongan Syiah dan Ahmadiyah di Indonesia kerap menjadi mangsa insiden intoleransi agama sejak 10 tahun kebelakangan itu, menurut Setara Institute.

Pengikut Syiah di Jawa Timur diusir dari rumah mereka sejak 2012, sementara pengikut Ahmadiyah di Lombok mengalami peristiwa yang sama sejak 2006.

Di Malaysia, pihak berkuasa agama yang bekerjasama dengan sebuah kumpulan aktivis Islam, turut menganjurkan majlis berbuka puasa antara pemimpin agama, bagaimanapun penganut Syiah, Ahmadiah dan golongan minoriti lain tidak dijemput ke majlis tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Sabariah Salleh berkata ini kerana Syiah dan Ahmadiah mempunyai fahaman Islam yang berbeza daripada ASWJ.

Sementara itu, Shah Kirit yang mengetuai Global Unity Network, berkata golongan Syiah dan Ahmadiah berbeza dari segi kefahaman tentang Islam, sementara kelompok agama Buddha, Kristian dan Hindu pula berbeza dari sudut agama itu sendiri dan berada di luar Islam.

Katanya, pada masa ini kumpulan aktivis Islam itu lebih memberi tumpuan kepada usaha mengadakan dialog antara agama, bukannya intra-agama, namun pada masa akan datang, beliau bercadang untuk menganjurkan forum dan akan menjemput golongan minoriti itu.