Perkara boleh dilakukan menyambut malam Lailatul Qadar

Nampaknya umat Islam sudah memasuki fasa terakhir Ramadan.

Dan pada 10 hari terakhir di bulan mulia ini, umat Islam diseru melipatgandakan amalan kepada Allah.

Sesungguhnya, Allah menjanjikan terdapat satu malam yang amat bermakna kerana Allah memberitahu kepada umatnya bahawa al-Quran diturunkan pada malam tersebut iaitu Lailatul Qadar.

Jadi terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mendapat manfaat pada malam Lailatul Qadar.

1. Menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadah solat serta membaca Al-Quran.

Daripada Abu Hurairoh sesungguhnya Rasulullah SAW telah berkata yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.

2. Membangunkan ahli keluarga seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah.

Daripada Aisyah: Adalah Rasulullah jika masuk pada malam 10 malam terakhir, maka ia akan menghidupkan malam-malam itu dan membangunkan ahli keluarganya dan akan menjauhi daripada membuat hubungan suami isteri.

Banyakkanlah melakukan solat pada waktu malam sepanjang Ramadan terutamanya pada 10 malam akhir.

3. Beriktikaf di dalam masjid dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya.

Ini kerana baginda Rasulullah akan beriktikaf ketika mana masuk 10 malam yang terakhir.

4. Berdoa kepada Allah dengan meminta keampunan-Nya.

Aishah pernah bertanya baginda Rasulullah apa yang perlu dikatakan pada malam Lailatul Qadar, maka kata Baginda: “Katakanlah, Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Engkau Maha Mulia dan suka kepada pengampunan maka ampunilah aku.

5. Bersedekah dengan keikhlasan kepada Allah.

Ini kerana jika sedekah yang dilakukan itu bertepatan dengan malam Lailatul Qadar maka amalan sedekah itu juga akan dilipatgandakan lebih baik dari 1,000 bulan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]