Polis dakwa digantung tugas, dipenjara selepas dituduh terlibat kes dadah

Saiful Bahari Yunus mendakwa keterangannya dipalsukan dan diubah kepada 5 versi sewaktu memberi kerjasama dalam siasatan polis membabitkan kes dadah di Kedah.

SEPANG: Seorang anggota polis yang kini digantung tugas mendakwa dijadikan “kambing hitam” apabila keterangannya dipalsukan segelintir anggota polis sehingga beliau dibuang daerah dan meringkuk dalam penjara selama 3 bulan.

Saiful Bahari Yunus, 36, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan Khas (D9) Bukit Aman berkata, insiden itu berlaku pada 17 Januari 2017 apabila beliau ditahan Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Bukit Aman kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di Kedah.

Dakwanya, walaupun hasil siasatan dan geledah di kediaman serta di pejabatnya tidak menemukan petunjuk positif yang mengaitkannya dengan aktiviti dadah, beliau bersama anggota bawahannya tetap ditahan selama 11 hari di lokap IPD Pendang dan lokap Balai Sungai Petani, Kedah.

“Saya awalnya terkejut kerana tidak tahu kes ini berkaitan apa. Anggota saya juga terkejut, tetapi saya kata tidak mengapa, kalau hendak siasat, lakukanlah kerana memang jelas kami tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti berkaitan dadah.

“Saya direman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Pegawai polis yang menahan saya beritahu mereka tangkap saya berdasarkan pintasan telefon antara saya dan anggota. Mereka keluarkan juga transkrip perbualan dan saya sahkan transkrip berkenaan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, antara perbualan yang dijadikan asas bagi penahanan beliau dan anggota adalah mereka menyebut beberapa kod perkataan “barang”.

“Anggota saya dari unit D9 faham mengenai kod ini tetapi bahagian narkotik pula, bila baca mungkin kod ini adalah berkaitan dengan dadah. Portfolio saya sebagai polis membabitkan operasi melibatkan senjata api dan kereta samun mewah,” katanya.

Keterangan dipalsukan

Bapa kepada 3 anak itu berkata, pada hari-hari terakhir sewaktu ditahan reman di Kedah, beliau diminta mengesahkan dan menandatangani keterangan yang diberikannya kepada pegawai penyiasat, namun terkejut apabila keseluruhan keterangan berkenaan berbeza dari keterangan asalnya.

“Kira-kira 99% kenyataan saya salah kecuali latar belakang saya. Saya beritahu mereka, kenyataan ini salah dan tidak akan menandatanganinya melainkan ditukar kepada kenyataan seperti yang saya perkatakan. Namun, anggota berkenaan berikan tekanan psikologi kepada saya.

“Mereka tegaskan saya tidak dapat bertemu dengan isteri, yang ketika itu sarat mengandung 6 bulan, tidak dapat kemudahan melawat dan khidmat peguam serta akan mencadangkan saya ditahan tidak melebihi 60 hari di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1952.

Kenangan Saiful Bahari Yunus sewaktu menerima pingat kedaulatan negara daripada bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar.

“Akhirnya saya kalah. Saya beritahu mereka, saya tandatangani kenyataan keterangan itu bukan kerana setuju dengan isi kandungannya tetapi berpegang dengan apa yang mereka katakan. Tetapi, sebaik sahaja habis reman, saya ditukar gari dan dikenakan LLPK,” katanya.

Susulan itu, beliau ditahan pula selama 60 hari dan dibawa ke Pusat Tahanan Polis (PRC) Sentul. Menurut Saiful, lebih mengejutkannya pihak interegosasi dari Bukit Aman mengubah lagi kenyataan yang ditandatanganinya sewaktu ditahan di Kedah.

“Di Sungai Petani, saya beritahu saya terlibat dalam operasi tembak mati penjenayah dan tidak ada rampasan dadah terlibat. Saya juga beritahu saya berikan upah RM50 hingga RM200 kepada sumber yang mendedahkan maklumat jenayah kepada saya.

“Tetapi, dalam kenyataan itu mereka ubah dan reka cerita saya berikan upah 20 papan dadah jenis erimin 5 dan 2 paket dadah jenis syabu secara percuma kepada sumber saya, kerana berikan maklumat. Mereka turut ubah laporan operasi yang saya sertai pada Mei hingga Disember 2016,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan dalam tempoh Mei 2016 hingga Desember 2016, beliau dan kumpulan menembak mati 12 penjenayah, tetapi dalam kenyataan dikatakan beliau menangkap hidup penjenayah terbabit, merampas dadah dan memberikan dadah tersebut kepada sumber sebagai upah.

5 versi keterangan

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM pada 2013 itu, berkata sewaktu dalam tempoh tahanan di pelbagai lokap, keterangannya diubah sebanyak 5 versi yang keseluruhannya menyatakan “kisah” berbeza daripada keterangan asal yang beliau berikan sewaktu diambil keterangan.

Tidak habis di situ, Saiful berkata pada hari ke-60 ketika ditahan bawah LLPK, beliau diperintah untuk menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor selama 2 tahun, bermula dari 28 Mac 2017 sehingga 27 Mac lalu.

Namun disebabkan rayuan yang dibuatnya, Saiful berjaya mendapatkan perintah buang daerah dan ditempatkan di Mukim Tebrau di daerah Johor Bharu. Beliau juga dikehendaki memakai peranti pengawasan elektronik di bahagian kakinya untuk tempoh 2 tahun.

“Memang kehidupan saya tersekat, antara 8 malam hingga 6 pagi, saya tidak dibenarkan keluar rumah. Jadi, tidak ada benda yang saya boleh lakukan. Saya terpaksa keluarkan wang simpanan saya dan wang simpanan isteri untuk sewa rumah di Johor,” katanya.

Keratan akhbar pada 2012 yang menunjukkan Saiful Bahari Yunus dirawat di Hospital Sungai Buloh yang cedera selepas memberkas 2 penjenayah dalam kes samun.

Menurut anak kelahiran Kelantan itu, dalam tempoh beliau dibuang daerah dan diberikan surat gantung tugas yang ditandatangani Khalid Abu Bakar yang ketika itu menjawat tugas ketua polis negara, beliau terpaksa mencari kerja lain dengan menjual penapis air bagi menampung kehidupan dan perbelanjaannya seharian.

“Dari segi moral, siapa yang tidak malu. Kalau orang tengok memang saya malu sangat. Saya pernah jadi pegawai polis dan pernah pantau orang pakai gelang kaki. Tiba-tiba saya pula yang kena pakai gelang, jadi memang saya rasa sedih,” katanya.

Dalam tempoh itu, Saiful menceritakan beliau pernah melantik peguam untuk mengendalikan kesnya, namun disebabkan beberapa kesilapan teknikal, mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan menolak rayuannya berhubung tindakan beberapa anggota polis yang bersikap curang terhadapnya.

“Sekarang ini saya kena fikir benda buruk dahulu barulah fikir benda baik. Sebelum saya dapat surat dibuang kerja, saya perlu bertindak sendiri. Saluran menggunakan mahkamah saya tidak ada rezeki, jadi saya kumpulkan bukti-bukti secara sendiri.

“Bukti-bukti inilah saya serahkan kepada perdana menteri, kementerian dalam negeri, Fuzi Harun yang ketika itu menjawat tugas ketua polis negara dan pengarah-pengarah yang terlibat. Kemudian saya buat 4 laporan polis mengenai salah guna kuasa anggota yang merakam kenyataan saya secara curang,” katanya.

Lawan sendiri untuk tegak kebenaran

Saiful berkata, beliau percaya sekiranya tidak membuat laporan polis terhadap tindakan anggota polis yang menganiayainya, beliau akan menerima surat dibuang kerja dari pasukan polis atau tempoh tahanannya berkemungkinan dilanjutkan.

“Saya kena lawan sendiri. Alhamdulillah, dari situlah ada rakan-rakan yang maklumkan ketua polis ketika itu, maklum kes ini dan arahkan siasatan dijalankan. Secara rasmi saya tidak terima surat ada siasatan dibuat, semuanya secara tidak rasmi berdasarkan bantuan rakan-rakan.

“Selepas laporan dibuat, barulah pegawai penyiasat dari Sungai Petani, Kedah dan Jitra, Johor hubungi untuk ambil semula kenyataan saya. Sebelum ini memang tidak ada mana-mana pihak yang ambil tindakan atau menghubungi,” katanya.

Menurut Saiful, beliau masih berminat untuk menabur jasa dan keringat dalam pasukan polis walaupun penganiayaan berlaku. Bahkan apa yang berlaku terhadap beliau menjadikannya lebih bersemangat untuk membanteras jenayah dan salah laku.

“Saya bukan nak burukkan pasukan, sebab masih sayangkan pasukan ni. Namun angkara tindakan segelintir orang dalam pasukan yang salah guna kuasa terutama kes seperti saya ini, boleh jejaskan nama pasukan,” katanya.

Saiful juga menyambut baik keputusan Putrajaya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang menurutnya akan menjadi salah satu medium membela nasib individu yang dianiaya.

Malah Saiful percaya Ketua Polis Negara yang baru, Abdul Hamid Bador akan meneliti kes ini memandangkan beliau pernah dilayan secara tidak adil kerana bercakap mengenai isu salah laku.

“Saya kalau ikutkan sebelum ini memang tidak setuju kerana banyak kebajikan polis masih tidak terbela. Ditambah pula dengan orang hentam polis lagi. Tetapi apabila sudah jadi pada diri saya, yang saya tidak pernah sangka, memang saya setuju sangat.”

Beliau berharap kesnya diteliti semula, sambil menambah pegawai yang membuat siasat terhadapnya dan bertanggungjawab mereka cerita palsu dalam kenyataannya telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dituduh dengan nilai suapan hampir RM3 juta.

“Maka kredibiliti pegawai ini harus dipersoal ketika menjalankan soal siasat terhadap saya dahulu,” katanya.