Polis Kelantan rampas lebih 1 tan daum ketum, pistol

Polis Kelantan merampas 8,650 kg ketum yang diletakan dalam 173 bungkusan plastik hitam dari sebuah lori di Jeli petang semalam . (Gambar Bernama)

TANAH MERAH,: Polis merampas daun ketum seberat 1.57 tan bernilai RM26,280 dan merampas sepucuk pistol jenis Colt dalam 2 serbuan berasingan di Jeli dan Pasir Mas semalam.

Ketua Polis Kelantan Hassanuddin Hassan berkata, rampasan ketum terbabit dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jeli di Kampung Baru Jalan Malaysia, Jeli pada pukul 6 petang semalam.

“Rampasan tersebut dilakukan selepas anggota kami menahan sebuah lori jenis Hicom dinaiki oleh 2 suspek berumur 20 dan 35 tahun yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, anggota kami menemui 1 botol lutsinar berisi cecair keperangan dipercayai air ketum dan pemerikasaan lanjut di bahagian belakang kenderaan itu anggota kami menjumpai 8,650 kg ketum yang diletakan dalam 173 bungkusan plastik hitam,” katanya pada sidang media di IPD Tanah Merah, di sini, hari ini.

Hassanudin berkata, bekalan daun ketum terbabit diperolehi dari daerah Sik, Kedah untuk dipasarkan ke Pasir Mas.

“Semakan rekod lampau suspek berumur 35 mempunyai 2 rekod lampau berkaitan jenayah, manakala hasil ujian air kencing kedua-dua suspek negatif dadah.

“Permohonan reman ke atas 2 suspek terbabit sedang dibuat hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau berkata, rampasan sepucuk pistol pula dilakukan di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang apabila menahan suspek lelaki berusia 29 tahun di sebuah premis kedai pada pukul 8 malam tadi.

“Rampasan itu dilakukan selepas anggota kami melakukan pemerhatian terhadap premis kedai terbabit selepas mendapat maklumat awam.

Pistol terbabit temui dibadan suspek yang diselit di bahagian pinggang, selain menemui 3 bilah parang dan 1 baju hujan menyerupai hak milik polis di premis terbabit,” katanya.

Katanya, hasil ujian air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai buruh itu positif dadah jenis amphetamine dan mempunyai 5 rekod lampau.

“Suspek direman selama 6 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967,” katanya.