Saya tidak ada kena-mengena dengan Projek IC, kata Musa Aman

Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman membidas Warisan berhubung isu pendatang asing tanpa izin di negeri ini, dengan berkata, mereka sepatutnya mencari jalan penyelesaian yang ampuh bukannya terus menyalahkan kerajaan sebelum ini.

Musa mendapati sikap Warisan yang defensif, selain menggunakan “politik mengalih perhatian” setiap kali kerajaan ditanya berhubung isu pendatang tanpa izin, membingungkan.

“Dalam kes ini, mereka dengan mudah menyalahkan saya untuk tujuan politik mereka.

“Saya dengan tegas menafikan terlibat dalam Projek IC. Kedua-dua pihak berkuasa dan juga Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang tanpa izin mendapati saya tidak terlibat sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Musa, yang merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga berkata, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ajis Jamman memutuskan untuk bermain politik “jahat” dengan mendakwa beliau terlibat dalam Projek IC.

Projek IC merujuk kepada dakwaan eksesais pemberian kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin pada 1980-an dan 1990-an, yang bertanggungjawab mengubah demografi negeri Sabah.

Azis, yang baru-baru ini menafikan penglibatan Warisan dalam aktiviti pemberian kerakyatan kepada orang asing berkata, nama Musa disebut dalam sebuah buku yang ditulis oleh bekas ahli politik Sabah Chong Eng Leong berhubung Projek IC, tetapi beliau (Musa) tidak pernah menafikan atau menyaman penulis buku tersebut.

Musa berkata, beliau tidak menyaman Chong kerana dakwaan beliau “tidak masuk akal dan tidak benar sama sekali”.

Katanya, dakwaan itu tidak perlu dibesarkan dengan memberikan respons terhadapnya, terutama sekali pada saat beliau sibuk mentadbir kerajaan.

“Rakyat Sabah semakin curiga berhubung dokumentasi yang diberikan kepada pendatang tanpa izin. Kebimbangan kami berasas,” katanya.

“Ancaman serius terhadap keselamatan Sabah ini hanya timbul selepas Warisan memperoleh kuasa dengan cara yang meragukan tahun lepas.

“Kebimbangan ini ternyata berasas, terutama sekali berdasarkan pelbagai berita dan hantaran di media sosial yang melaporkan kekerapan luar biasa kejadian kebakaran di petempatan utama setinggan di seluruh Sabah.”

Ini, kata Musa, diikuti pula dengan berita mengenai ketibaan segera unit bergerak Jabatan Pendaftaran Negara ke tempat kejadian dan mengeluarkan dokumen baru kepada “mangsa kebakaran”.

“Kita tidak boleh menyalahkan rakyat sekiranya perasaan curiga itu meningkat, terutamanya apabila kerajaan negeri sendiri mencadangkan pembentukan koloni setinggan di pulau sempadan.

“Bagaimanapun saya mengalu-alukan keputusan polis baru-baru ini untuk membuka kertas siasatan berhubung “kempen kewarganegaraan” yang dikaitkan dengan Warisan.

“Saya juga mencadangkan satu kertas siasatan dibuka berhubung kebakaran kawasan petempatan setinggan yang mula berlaku sejak Jun tahun lepas,” katanya.

Musa berkata, rakyat Sabah tidak membantah pemberian dokumen sah kepada orang asing yang tinggal di sini untuk satu tempoh yang munasabah, dan menambah ia bukanlah isu perkauman.

“Kita membantah pemberian dokumen seperti MyKad kepada pendatang tanpa izin yang baru melepasi sempadan dan menjadi warga negara secara sekelip mata.

“Jika keadaan ini tidak dihalang, ia akan mengancam keselamatan dan menggugat kedaulatan negara,” katanya.