9 pegawai JPJ, SPAD berdepan 164 tuduhan rasuah dalam sindiket lindungi lori

Pegawai SPRM membawa kotak mengandungi dokumen berkaitan pertuduhan rasuah yang difailkan ke atas 9 penguat kuasa di Mahkamah Sesyen Khas Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

BUTTERWORTH: Sembilan penguat kuasa dari Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini didakwa atas pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat pengangkutan lori selama hampir 3 tahun sebagai balasan untuk mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Mahkamah Sesyen Khas mengenai rasuah di sini mengambil 4 jam untuk membaca semua pertuduhan itu kepada 9 lelaki terbabit.

Mereka didakwa menerima rasuah berjumlah RM136,010 daripada Ooi Cheng Keat, pengarah syarikat Sam Lian Transport and Tyre Sdn Bhd serta TSR Transport Sdn Bhd.

Ooi didakwa menghantar wang itu menerusi 164 transaksi kepada 8 penguat kuasa JPJ dan seorang pembantu ketua penguat kuasa SPAD antara 2015 hingga 2018.

Pendakwa raya menyatakan jumlah pemindahan bank yang tertuduh terima daripada Ooi dalam bayaran yang didakwa dimasukkan melalui beberapa akaun syarikat dan orang tengah.

Sembilan penguat kuasa itu didakwa meminta rasuah di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dakwaan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 2 tahun dan denda, manakala kesalahan di bawah Akta SPRM membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Rasuah itu diberikan syarikat pengangkutan lori bagi melindungi lori lebih muatan daripada dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Akta SPAD 2010.

Hakim, Nizam Zakaria membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM11,000 hingga RM20,000 dengan penjamin dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menetapkan 2 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Timbalan pendakwa raya ialah Selvaranjini Selvaraja.

Butiran pertuduhan ke atas 9 tertuduh:

1. Khairol Naim Mat Desa, 34, pemeriksa kereta motor JPJ Gred AB29, didakwa menerima RM24,100 menerusi 13 transaksi antara 2 Julai 2016 hingga 20 Ogos 2018 yang dimasukkan ke akaun CIMB miliknya.

Dia dibenarkan ikat jamin RM13,000 dan pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah.

2. Muhamad Syukri Ishak, 36, pemeriksa kereta motor JPJ Gred AB17, didakwa menerima RM24,000 menerusi 16 transaksi yang dimasukkan ke akaun Maybank Nurul Atikah Mohd Khashim dari 10 Mei 2016 hingga 12 Jun 2018.

Dia tidak diwakili peguam dan dibenarkan ikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin. Hakim mengarahkannya mendapatkan peguam daripada Biro Bantuan Guaman.

3. Noorzaimi Effendi Salleh, 36, pemeriksa kereta motor JPJ Gred AB22, didakwa menerima RM23,550 melalui 18 transaksi antara 5 Julai 2016 hingga 10 Mei 2018 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank Nor Fatehah Ahmat.

Noorzaimi dibenarkan ikat jamin RM18,000.

4. Katimi Azmi, 35, pembantu penguat kuasa JPJ Gred KP19, didakwa menerima RM16,600 menerusi 11 transaksi ke akaun Maybanknya dari 5 Ogos 2017 hingga 20 Jun 2018.

Dia dibenarkan ikat jamin RM11,000.

5. Mohd Noor Fadzny Noordin, 32, pembantu ketua penguat kuasa SPAD wilayah utara Gred L10, didakwa menerima RM14,250 dalam 30 transaksi ke akaun Maybanknya dari 15 Julai 2015 hingga 11 Julai 2018.

Dia dibenarkan ikat jamin RM20,000.

6. Muhammad Firdaus Jaafar, 46, pembantu penguat kuasa JPJ Gred N22, didakwa menerima RM10,950 menerusi 10 transaksi antara 13 Mac 2015 hingga 8 Jun 2018 yang dimasukkan ke akaun Maybank Norshalida Mustapa.

Dia dibenarkan ikat jamin RM20,000.

7. Muniandy Munusamy, 45, pembantu penguat kuasa JPJ Gred N22, didakwa menerima RM9,750 menerusi 15 transaksi antara 15 Februari 2016 hingga 1 Ogos 2017 yang dimasukkan ke akaun Maybanknya.

Dia dibenarkan ikat jamin RM15,000.

8. Pirdaus Abd Karim, 34, pembantu penguat kuasa JPJ Gred KP19, didakwa menerima RM8,600 menerusi 15 transaksi antara 6 Februari 2017 hingga 14 Ogos 2018 yang dimasukkan ke akaun Maybanknya.

Dia dibenarkan ikat jamin RM13,000.

9. Mohd Fairdaus Ishak, 32, pembantu penguat kuasa JPJ Gred N17, didakwa menerima RM4,210 menerusi 15 transaksi antara 16 Januari 2015 hingga 3 Februari 2018 yang dimasukkan ke akaun Maybanknya.

Dia dibenarkan ikat jamin RM15,000.