Anwar rayu Putrajaya pertimbang beri duit raya pada peneroka Felda

Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim merayu kerajaan mempertimbangkan pemberian wang tunai kepada peneroka Felda bagi membantu meringankan beban kewangan golongan itu, sehari selepas Putrajaya mengumumkan 112,635 tidak akan menerima sebarang duit raya tahun ini.

“Mungkin kita boleh ringankan beban mereka dengan sedikit bantuan atau elaun kepada peneroka yang mengalami kesusahan di bulan Ramadan dan akan menyambut hari raya,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu kepada pemberita hari ini, selepas mempengerusikan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di Parlimen hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz.

Minggu lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk memberikan bantuan kepada peneroka, berikutan kedudukan semasa kewangan negara yang kurang memberangsangkan.

Keutamaan kerajaan kini ialah memastikan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil dibayar kepada peneroka sebelum Aidilfitri, katanya.

Sebelum ini, Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) meminta agar kerajaan menyampaikan bantuan sempena sambutan Aidilfitri kepada peneroka Felda susulan pendapatan peneroka yang tidak stabil mengikut harga komoditi kelapa sawit semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya pemberita semalam meminta perkara itu dirujuk kepada Azmin.

Anwar berkata dia memaham kenyataan kerajaan dan Azmin dalam hal penyediaan bantuan kewangan itu.

“Tapi kita ke bawah (berjumpa peneroka) dan kegelisahan itu benar. Orang menghadapi masalah untuk lalui Ramadan dan nak raya.

“Kita fikir kalau boleh bagi sedikit pun tidak mengapa, meringankan beban mereka.”