Banduan mati kerana lambat dirawat, kata kumpulan peguam

Lawyers for Liberty berkata tahanan tidak patut dihalang mendapatkan rawatan perubahan yang sempurna hanya kerana mereka tahanan.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan kekurangan rawatan perubatan sempurna bagi tahanan reman di penjara Sungai Buloh yang meninggal dunia pada 25 Mei, hanya beberapa hari selepas didiagnosis menghidap tuberkulosis (batuk kering).

LFL berkata, Proosothaman Marimuthu, yang ditahan di penjara itu sejak Disember tahun lalu, mengalami kesakitan dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada 21 Mei. Kematiannya dikatakan disebabkan “kegagalan pelbagai organ akibat penyebaran tuberkulosis”.

“Pakar patologi yang melakukan bedah siasat memberi penerangan kepada ahli keluarga dan peguam bahawa si mati menunjukkan gejala tuberkulosis seperti batuk berterusan, batuk berdarah, demam, kehilangan berat badan dan selera makan.

“Seterusnya, si mati diasingkan kerana tuberkulosis beberapa bulan sebelum kematiannya. Bagaimanapun, si mati hanya didiagnosis dengan tuberkulosis selepas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” kata Melissa Sasidaran, yang mewakili keluarga Proosothaman, dalam satu kenyataan.

Beliau mempersoalkan mengapa Proosothaman, 25, tidak diberi rawatan yang sempurna dan tepat pada masanya apabila dia mula menunjukkan tanda-tanda tuberkulosis. Sebaliknya, katanya, Proosothaman hanya dibawa ke hospital beberapa hari sebelum kematiannya.

Mengatakan tuberkulosis adalah penyakit yang sangat berjangkit, beliau juga mempersoalkan sama ada prosedur perubatan dan kuarantin yang betul diikuti oleh pihak berkuasa penjara.

“Kesilapan tersebut adalah melanggar Akta Penjara 1995 dan Peraturan Penjara 2000 yang memerlukan tahanan yang sakit serius dimasukkan ke hospital dan bagi banduan dengan penyakit berjangkit untuk dirawat dan dikuarantin untuk mengelakkan penyebaran penyakit,” katanya.

Beliau menambah ahli keluarga Proosothaman, yang sering melawatnya di penjara, tidak dimaklumkan mengenai keadaannya atau dia dimasukkan ke hospital.

Menurut mereka, semasa lawatan terakhir mereka pada 5 Mei, Proosothaman mengadu demam, sakit perut dan cirit-birit dan mengalami kesukaran berjalan kerana kesakitan yang sangat teruk. Dia juga memberitahu mereka bahawa dia hanya diberikan Panadol untuk menahan sakit.

“Banduan tidak patut dilayan kurang sebagai manusia dan dihalang mendapat rawatan perubatan yang sempurna hanya kerana mereka adalah tahanan,” katanya, sambil menambah Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara harus bertanggungjawab atas kematian Proosothaman yang dikatakan “dapat dicegah sepenuhnya”.

Beliau juga menggesa polis menjalankan siasatan segera terhadap kematian Proosothaman, mengatakan terdapat unsur kecuaian jenayah yang membawa kepada kematian.

“Tahanan penjara tidak boleh dijatuhi hukuman mati oleh penyakit yang membawa maut akibat sikap tidak endah, kecuaian atau ‘tidak peduli’ Jabatan Penjara,” katanya.