Bapa tekan aspek sejarah ketika besarkan kami, kata anak Khoo Kay Kim

Rathi Khoo (kanan) bersama Eddin (kiri) dan ahli keluarganya membuat persediaan untuk pengebumian mendiang Khoo Kay Kim di Pusat Peringatan Nirvana, Sungai Besi, hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Aspek sejarah sering ditekankan mendiang Prof Khoo Kay Kim selaku sejarawan dan ahli akademik bagi membesarkan ketiga-tiga anaknya.

Anak sulungnya, Eddin, 50, berkata mendiang bapanya sangat meminati bidang sejarah dan sukan kerana tidak mahu anak-anaknya “buta” serta tidak peduli sejarah negara.

“Dia selalu menitikberatkan aspek sejarah dalam apa-apa pun kerana kalau kita tidak mempunyai kenangan, sudah pasti tidak akan ada masa depan yang cerah,” katanya di Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi hari ini.

Khoo meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 10.13 pagi tadi.

Eddin berkata, mendiang bapanya selalu menganggap pembinaan negara bangsa adalah proses berterusan.

Lebih 50 tahun menjadi guru dan pensyarah, beliau berkata, bapanya disifatkan mesra dan sangat komited dengan kerjayanya sehinggakan ramai anak muridnya menjadi pembina negara.

“Namun, saya lihat paling utama dia cuba menjadi jambatan antara kaum untuk mewujudkan sebuah negara majmuk.”

Mendiang Khoo yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri, Rathi, 75, serta 3 anak – Eddin, Rubin, 47, dan Mavin, 42.

Mendiang ialah salah seorang individu merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada 1969.