Bekas CEO telco ugut saman akhbar Star atas dakwaan cabul

Jason Lo mempunyai 3 anak. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat telekomunikasi, Jason Lo hari ini mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap The Star atas pendedahan yang mendakwa beliau “mencabul kehormatan” anaknya.

Dalam catatan panjang di Facebook, Lo mengecam akhbar berbahasa Inggeris itu atas pencetakan berita muka depan yang “tidak patut dan tidak bertanggungjawab” tanpa memasukkan fakta utama.

Katanya, wartawan yang menulis artikel itu, bersama pengarang, pasukan guaman, CEO dan pemegang saham yang menyebarkan “keaiban mutlak terhadap kerjaya” wartawan perlu menjawab berdasarkan undang-undang negara.

“Saya seorang bapa dan anda bertanggungjawab terhadap tindakan tidak bertanggungjawab anda dan saya sedia berdepan apa saja.

“Anda sudah mendapat perhatian saya,” tulis pemuzik itu yang pertama kali bersuara sejak pendedahan itu dan juga laporan penahanannya atas dakwaan menceroboh rumah bekas isterinya.

Bapa kepada 3 anak itu turut memuat naik tangkap layar sejarah perbualannya dengan wartawan yang menghubunginya untuk mendapatkan komen.

Sabtu lalu, The Star menyiarkan satu laporan mendakwa Lo mencabul anaknya berdasarkan laporan polis dibuat bekas isterinya yang membuat dakwaan itu.

Akhbar itu turut melaporkan, berdasarkan satu sesi kaunseling yang dirakamkan video, apa yang Lo didakwa lakukan terhadap anaknya.

Bagaimanapun, Lo mempersoalkan motif The Star melaporkan perkara itu dengan menyifatkan tindakan “mengganggu anaknya” tidak boleh diterima, selepas apa yang dilalui keluarganya.

“Mereka sudah dihujani permintaan rakan baru daripada ratusan orang dan mereka berada di usia di mana kanak-kanak boleh membaca muka depan akhbar dan bertindak kejam.

“Adakah anda seorang hakim sekarang? Ini perkara paling bahaya saya pernah lihat dilakukan seseorang.”