Beri sokongan kepada IS, bekas pemandu teksi dipenjara 10 tahun

Seorang bekas pemandu teksi dihukum penjara 10 tahun selepas didapati bersalah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pemandu teksi dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah terhadap 3 pertuduhan termasuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS.

Hakim Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Mizan Panijan selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga kes melampaui keraguan yang munasabah.

Beliau bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa keterangan pembelaan Nor Mizan bagi ketiga-tiga pertuduhan hanyalah penafian semata-mata.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama, 6 tahun bagi pertuduhan ke-2 serta 3 tahun bagi pertuduhan ke-3 ke atas tertuduh berusia 40 tahun itu dan memerintahkannya menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 15 Julai 2016.

Dua puluh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 7 Nov 2017.

Nor Mizan didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan “Gagak Hitam” dengan menggunakan nama “mrzack786” di dalam telefon bimbit milik tertuduh.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak, Selangor, antara 30 Mac dan 2 April 2016 mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda.

Nor Mizan turut didakwa mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas bernama Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, dengan cara memasukkan wang tunai RM70 dan RM20 ke akaun Maybank milik 2 individu lain bagi manfaat pengganas terbabit.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah mesin deposit tunai Maybank di Ground Floor, Menara Hup Seng, Jalan P. Ramlee, antara 1 Feb 2016 dan 4 April 2016.

Bagi pertuduhan itu, Nor Mizan didakwa mengikut Seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana harta berkenaan.

Tertuduh juga didakwa memiliki bahan berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan pengganas IS iaitu 21 video dan 10 gambar di dalam sebuah telefon bimbit, di alamat kediaman yang sama, pada 7.20 malam, 15 Julai 2016 mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, peguam Syahredzan Johan yang mewakili Nor Mizan merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum atas alasan anak guamnya menanggung isteri, ibu berusia 67 tahun dan 2 anak hasil perkahwinan pertamanya.

Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan tertuduh.

“Keterangan (dalam perbicaraan) menunjukkan tindakan tertuduh boleh menjurus kepada perbuatan lebih serius seperti berhijrah dan menyertai aktiviti keganasan jika tidak dibendung.

“Mohon juga mahkamah pertimbang faktor kepentingan awam dan ambil pengiktirafan kehakiman atas peningkatan kes-kes seperti ini. Hukuman perlu beri pengajaran kepada masyarakat umum bahawa perbuatan tertuduh tidak patut dicontohi,” katanya.