Kerajaan akan hantar pulang 60 kontena sisa sampah haram ke negara asal

Antara kontena sisa sampah yang dibawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang.

PELABUHAN KLANG: Sebanyak 60 kontena sisa sampah yang dibawa masuk ke negara ini secara haram akan dihantar semula ke negara asal, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Menurut Yeo, daripada 60 kontena itu sebanyak 10 kontena yang keseluruhannya seberat 450 tan metrik merupakan sisa sampah plastik dari pelbagai negara seperti China, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Kanada, Arab Saudi, Bangladesh, United Kingdom dan Jepun.

“Hari ini kita buat operasi bersepadu dengan pelbagai agensi berbeza. Kita sudah lakukan sebanyak 10 kali operasi setakat ini dan 123 kontena di Pelabuhan Klang sudah diperiksa. Apa yang kita periksa, banyak sisa sampah haram yang dibawa masuk ke dalam negara.

“Kita akan hantar semula 10 kontena sisa sampah plastik seberat 450 metrik tan serta merta. Notis akan diberikan pada hari ini dan dalam tempoh 14 hari, syarikat yang mengimport sisa sampah ini perlu hantar semula ke negara asal,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Yeo turut menyifatkan mana-mana rakyat yang bekerjasama dengan pengeksport sisa sampah haram adalah pengkhianat negara kerana tindakan itu akan menyebabkan kelestarian negara musnah.

“Malaysia tidak akan menjadi tempat pembuangan sampah untuk dunia. Kita akan bekerja keras, siapa yang hantar sampah ke sini, kita akan hantar ia semula. Kita akan lawan walaupun Malaysia merupakan negara kecil, kita tidak boleh dibuli oleh negara maju,” katanya.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Kata Yeo, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Peraturan-Peratuan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 yang diperuntukkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap pengimport tempatan.

“Mereka akan dibawa ke mahkamah. Jika kita tidak dapat ambil tindakan mengikut undang-undang negara, kita akan gunakan Konvensyen Basel terhadap negara pengeksport sisa buangan tersebut,” katanya.

Malaysia meratifikasi Konvensyen Basel pada Oktober 1993.

Menurut Yeo, bayaran juga akan dikenakan terhadap negara pengeksport sisa buangan jika kerajaan perlu membuat pelupusan ke atas sisa buangan plastik itu di negara ini.

Katanya, peraturan itu terpakai ke atas 187 negara yang meratifikasi Konvensyen Basel yang bertujuan mengawal pergerakan buangan berbahaya merentas sempadan dan pelupusannya.

Berdasarkan Perkara 9 konvensyen tersebut, dinyatakan sebarang pergerakan merentas sempadan buangan berbahaya ke negara ini untuk tujuan pelupusan secara sengaja, adalah trafik haram.

Dedah nama syarikat hantar sisa sampah

Bukan itu sahaja, Yeo turut bercadang untuk mendedahkan nama-nama syarikat dari luar negara yang terlibat membawa sisa sampah masuk ke negara ini.

“Kita akan hantar senarai nama syarikat yang kononnya menjalankan kerja kitar semula. Kita akan hantar senarai nama syarikat itu ke pihak berkuasa negara berkenaan. Malaysia berhak untuk dapatkan air, udara dan alam sekitar yang bersih,” katanya.

Yeo Bee Yin (tengah) menunjukkan contoh sisa sampah yang terdapat dalam kontena dari pelbagai negara.

Jelasnya, siasatan dilakukan di Pelabuhan Klang merupakan fasa pertama. Selepas ini, siasatan turut akan dijalankan di pelabuhan-pelabuhan lain dalam negara.

Yeo berkata, masalah pembuangan sisa sampah ini berlaku selepas China mengeluarkan arahan untuk melarang negara asing membawa masuk sampah ke negara berkenaan sejak 2 tahun lalu.

“Ada kontena dari China, bila kita buka kontena itu, ia adalah sampah dari negara Perancis. Disebabkan China mengeluarkan arahan melarang sisa sampah dibawa masuk, ia secara tidak langsung membuka mata dunia.

“Ini adalah ‘tips of iceberg’. Disebabkan itu, dunia harus fikir bagaimana hendak uruskan sampah dari negara kita. Mereka urus sampah mereka, kita urus sampah kita,” katanya.