KPN pertahan siasatan ke atas bekas polis dakwa dianiaya kes dadah

Saiful Bahari Yunus mendakwa 99% keterangannya dipalsukan dan beliau dipaksa menandatangani keterangan itu atau tidak dapat menemui isterinya yang sarat mengandung 6 bulan ketika itu.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mempertahankan siasatan ke atas seorang bekas anggotanya yang dipenjarakan 3 bulan atas kesalahan berkaitan dadah 2 tahun lalu.

Beliau merujuk laporan FMT semalam berhubung Saiful Bahari Yunus, 36, bekas anggota di Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan Khas Bukit Aman yang mendakwa dijadikan kambing hitam, selepas keterangannya dipalsukan ketika disiasat pada 17 Januari 2017 kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di Kedah.

Hamid berkata, sesiapa pun boleh mendakwa dirinya tidak bersalah, tetapi beliau berpuas hati dengan siasatan kes itu yang disifatkannya adil dan telus.

“Keterangan (pegawai penyiasat) yang diberikan memuaskan, jelas,” katanya selepas menyerahkan bungkusan kuih raya sempena Aidilfitri di Bukit Aman hari ini.

Semalam, Saiful dilaporkan berkata, hasil siasatan dan geledah di rumah serta pejabatnya tidak menemui petunjuk positif berkaitan aktiviti dadah, tetapi beliau dan anggota bawahannya ditahan 11 hari di lokap Ibu Pejabat Polis Pendang serta Sungai Petani, Kedah.

Beliau berkata, keterangannya diubah menjadi 5 versi yang 99% berbeza daripada keterangan asalnya dan beliau terpaksa menandatangani keterangan itu atas tekanan psikologi serta ugutan tidak dapat menemui keluarganya, terutama isterinya yang sarat mengandung 6 bulan ketika itu.

Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis pada 2013 itu berkata, selepas dipenjarakan, beliau memfailkan rayuan dan dibuang daerah ke Tebrau, Johor Bahru serta perlu memakai peranti pengawasan elektronik di kakinya selama 2 tahun.