Longgokan sampah dalam hutan: JAS Perak tolak dakwaan media UK

Tangkap layar laporan Daily Mail Online mengenai dakwaan longgokan sampah plastik setinggi 6 meter di dalam hutan di Ipoh.

IPOH: Jabatan Alam Sekitar Perak menafikan kewujudan longgokan sampah plastik yang tidak terurus di dalam hutan di Ipoh sebagaimana yang ditularkan oleh media antarabangsa.

Pengarahnya Norazizi Adinan berkata, longgokan sampah yang ditularkan itu sebenarnya dikumpul di tapak sebuah syarikat yang memproses sampah sebagai bahan bakar.

“Syarikat itu beroperasi di kawasan perindustrian IGB di Tasek dan tidak melanggar sebarang peraturan,” katanya ketika dihubungi hari ini bagi mengulas laporan Daily Mail Online yang menyebut terdapat longgokan sampah plastik setinggi 6 meter di dalam hutan di sini.

Katanya, premis yang mempunyai lesen daripada Majlis Bandaraya Ipoh itu beroperasi secara sah dan pihaknya sentiasa memantau operasi di kawasan itu bagi memastikan ia mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengarah Operasi Resourceco Asia (M) Sdn Bhd K Muralindran berkata, longgokan sampah di tapak itu dianggar seberat 2 tan dan ia dikumpul sejak awal tahun ini.

Katanya, syarikat yang beroperasi sejak 2011 itu mengumpul sampah seperti plastik dan fabrik untuk diproses menjadi bahan bakar bagi kegunaan kilang memproses simen.

“Kita adalah syarikat pertama seumpamanya di Malaysia dan pendekatan memproses sampah menjadi bahan bakar sebenarnya membantu menjaga alam sekitar daripada lambakan sampah di tapak pelupusan,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya membeli antara 3 tan hingga 4.5 tan sampah setiap bulan daripada pelbagai industri dan komersial untuk dikitar semula.

Mengenai dakwaan media Britain itu, Muralindran berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia dilakukan sekumpulan 4 lelaki warga asing yang pernah memasuki tapak pengumpulan itu pada Disember lepas.

“Kami mengajak mereka datang ke pejabat untuk beri penerangan apa yang berlaku, tapi mereka enggan dan terus pergi selepas mengambil gambar termasuk menggunakan dron,” katanya.

Tambahnya satu laporan polis mengenai kumpulan itu dibuat pihaknya pada 14 Dis lepas di Balai Polis Kampung Tawas.