Penganalisis tak yakin ada pilihan raya awal untuk sekat Anwar jadi PM

Ahli politik pembangkang mendakwa Mahathir Mohamad akan mengadakan pilihan raya awal bagi menghalang Anwar Ibrahim mengambil alih jawatannya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Beberapa penganalisis politik tidak yakin Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan pilihan raya awal sebelum penggalnya sebagai perdana menteri berakhir, sebaliknya percaya langkah sedemikian akan memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH).

Ahli politik Barisan Nasional meramalkan Mahathir tidak akan menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikan, tetapi akan membubarkan Parlimen bagi pilihan raya baru sebelum penggalnya berakhir.

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata walaupun ada isyarat bahawa Mahathir “sangat keberatan” untuk menyerahkan jawatan itu, ia “agak tidak mungkin” untuk mengatakan beliau akan mengadakan pilihan raya awal hanya untuk mengelak peralihan kuasa.

“Dengan senario politik semasa, tiada siapa dalam PH akan bersetuju dengan pilihan raya awal, memandangkan pembangkang semakin mendapat sokongan dari hari ke hari,” kata Azmi.

Presiden MCA, Wee Ka Siong baru-baru ini membangkitkan kemungkinan pilihan raya umum diadakan lebih awal berikutan masalah dalaman dihadapi PH, termasuk isu ketidakjelasan proses peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar.

Kamarul Zaman Yusoff.

Pemangku Presiden Umno, Mohamad Hasan, yang mengatakan beliau “sangat mengenali Mahathir”, juga berkali-kali mendakwa Mahathir tidak akan memenuhi janjinya. Mohamad percaya pilihan raya akan diadakan seawal tahun depan.

Seorang lagi penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia, berkata tidak penting sama ada Anwar akan dijadikan timbalan PM atau pemimpin PH gagal mendapatkan kesepakatan kerana faktor ini tidak akan menjejaskan mandat pilihan raya mereka.

Bagaimanapun, ia akan menjadi “politik bunuh diri” bagi sesiapa sahaja yang cuba menggulingkan Mahathir, kerana beliau tetap mempunyai pengaruh besar dalam memimpin gabungan itu untuk berkuasa pada pilihan raya tahun lepas.

Beliau juga berkata jika Anwar mengambil alih jawatan daripada Mahathir, ia tidak mungkin bahawa beliau akan mengadakan pilihan raya awal sama ada kerana tidak ada kewajipan undang-undang atau moral untuk mendapatkan mandat baru.

Katanya, Anwar memerlukan masa untuk menyatukan kedudukannya dalam kerajaan dan parti sebelum berdepan risiko kekalahan dalam pilihan raya umum jika beliau membubarkan Parlimen terlalu cepat.

Wong Chin Huat.

Pakar sains politik Wong Chin Huat dari Penang Institute tidak fikir mana-mana pemimpin PH mahu mengambil risiko kehilangan majoriti mudah di Parlimen.

Beliau berkata PH mempunyai “pencapaian yang terhad” untuk ditunjukkan pada tahun pertama berkuasa dan akan berdepan kritikan berterusan kerana membazirkan dana awam jika pilihan raya baru dilakukan secara tiba-tiba.

Kerjasama antara 4 parti komponen PH juga akan diuji, dengan beberapa parti mungkin terlibat dalam pertikaian mengenai kerusi dan calon.

Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre tidak fikir PH mempunyai masalah yang memerlukan pilihan raya awal, manakala James Chin dari Universiti Tasmania, berkata PH tidak akan mengadakan pilihan raya awal selagi mereka tidak yakin tentang sentimen pengundi Melayu.