PM pertahan Maszlee, jamin peluang Bumiputera dalam projek

Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan prestasi dan kedudukan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan, mengatakan kesilapan kecil bukan alasna untuk menggugurkan seorang ahli jemaah menteri.

Beliau berkata, Maszlee menjalankan tugasnya dengan baik kecuali dalam isu warna kasut sekolah.

“Beliau cakap sikit sahaja mengenai kaum tak bermakna rasis. Dalam Pakatan Harapan, ramai cakap pasal kaum. Orang Cina cakap pasal Cina, orang India cakap pasal India, Iban cakap pasal Iban, tapi kita semua rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan tertinggi PPBM di Yayasan Selangor hari ini.

Mahathir mengingatkan penjelasan pendirian parti mengenai kaum penting dalam pilihan raya.

“Kalau kita tak jelaskan pendirian kita tentang kaum saya rasa kita akan kalah dalam pilihanraya akan datang,” katanya.

Sebelum ini, kenyataan Maszlee mengenai kuota kaum dalam program matrikulasi Kementerian Pendidikan dan pasaran kerja yang dikatakan tidak adil mengundang kemarahan beberapa pihak, termasuk pemimpin DAP.

Sementara itu, Mahathir memberi jaminan keistimewaan Bumiputera dalam projek-projek kerajaan terus dikekalkan.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan belum membuat keputusan mengenai permohonan Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia yang menggesa kerajaan memberikan kuota sekurang-kurangnya 20% kepada kontraktor Bumiputera untuk terlibat dalam kerja-kerja awam projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Kita belum menetapkan kuota,” katanya. Saya mahu jelaskan sistem lama memberikan keistimewaan kepada Bumiputera masih dikekalkan, termasuk rundingan tender,” katanya.

Mahathir menambah tender secara rundingan masih digunakan dalam keadaan tertentu.

Perpecahan Melayu

Sementara itu, Dr Mahathir Mohamad secara sinis mengatakan kewujudan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), yang diluluskan pendaftarannya pada 8 Mei lepas, baik untuk perpecahan orang Melayu.

Pengerusi PPBM itu “mengalakkan” penubuhan lebih banyak parti kaum Melayu supaya sokongan orang Melayu berpecah kepada beberapa parti politik.

“Kita bebas tubuhkan seberapa banyak parti pun dan kalau kita tubuh 100 parti itu cukup baik, orang Melayu akan dibahagikan kepada 100 dan tidak ada satu parti Melayu besar,” katanya.

“Negara kita majoriti 60% Melayu tapi berpecah 4, tak apa juga ini berpecah,” katanya.

Ibrahim mengumumkan penubuhan Putra pada 17 Ogos tahun lepas, yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, Mahathir berkata partinya akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 20 Julai depan, untuk membuat pindaan pada perlembagaan parti.

Katanya, pindaan perlu dilakukan kerana terdapat kekurangan pada perlembagaan PPBM ketika ini, selain bagi memastikan perjalanan pentadbiran yang lebih licin.

Tak boikot istana

Sementara itu, Mahathir menegaskan kekhilafan anaknya, Mukhriz tidak bersalaman dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bukan bermakna cubaan memboikot Istana Johor.

Mahathir juga menambah kekhilafan itu tidak disengajakan dan isu melibatkan timbalan presiden PPBM itu bukan perlu diperbesarkan.

“Kadangkala apabila anda melepasi sesetengah orang, tidak bererti anda memboikot mereka

“Kedua-dua Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersalaman dengan saya dan saya pun bersalaman dengan mereka, kamera tak tayang,” katanya.

“Saya tiada masalah dengan kerabat Johor. Malah di Istana Abu Bakar, Pekan baru-baru ini, Sultan Johor kata saya kelihatan muda, saya membalasnya imej ini kerana tiada janggut seperti baginda,” tambahnya.