Sejarawan terkenal Khoo Kay Kim meninggal dunia

Khoo Kay Kim meninggal dunia pada usia 82 tahun. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Khoo Kay Kim yang merupakan sejarawan terkenal dan prolifik di Malaysia, meninggal dunia hari ini pada usia 82 tahun.

Beliau dikatakan meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya, kira-kira 10.13 pagi tadi.

Khoo pernah menganggotai jawatankuasa merangka Rukun Negara, 5 prinsip yang membentuk falsafah negara selepas rusuhan kaum pada 1969.

Beliau menulis banyak artikel mengenai sejarah Malaysia dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Khoo berkhidmat lebih 50 tahun di Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan ramai rakyat Malaysia terkenal pernah menjadi pelajarnya.

Khoo yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri, Rathi dan 3 anak, Eddin, Rubin dan Mavin.

Peminat setia bola sepak itu sering memberi kritikan jujur mengenai prestasi pasukan negara.

Dalam satu wawancara bersama FMT, Khoo dilaporkan membidas pemain negara yang disifatkannya tidak menggunakan otak ketika beraksi di padang.

“Pemain kita main tak pakai otak, mereka main macam robot, hantar bola tak betul, tendang tak betul, semua tak betul, macam mana mereka boleh bermain untuk pasukan kebangsaan?” soalnya selepas Harimau Malaya dibelasah 3-0 oleh Indonesia dalam satu perlawanan persahabatan pada September 2017.

Tetapi, Khoo akan diingati untuk hasil kerjanya mengenai sejarah Malaysia yang membentuk naratif selepas kemerdekaan negara.

Anak ke-2 Khoo, Rubin, 47, memberitahu Bernama, kesihatan bapanya merosot selepas menjalani pembedahan pintasan pada Oktober 2018.

“Walaupun begitu, dia masih tabah sehingga akhir hayatnya.”