Tiada pihak bantah Syazlin wakili kementerian sejak awal, kata setiausaha menteri

Syazlin Mansor mewakili KPKT dan JBPM dalam inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tanpa mengenakan sebarang bayaran.

PETALING JAYA: Tiada bantahan daripada mana-mana pihak, termasuk Jabatan Peguam Negara terhadap pelantikan Syazlin Mansor untuk mewakili pihak kerajaan sepanjang inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim diadakan, kata setiausaha politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Nor Hizwan Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jabatan Peguam Negara hanya mengarahkan Syazlin menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika inkues itu hampir berakhir.

“Selepas menerima satu surat daripada peguam negara bertarikh 23 Mei 2019 yang meminta pelantikan peguam kementerian dibatalkan, KPKT segera bertindak atas nasihat peguam negara dan mengarahkan peguamnya menarik diri daripada inkues itu.”

Semalam, inkues Adib dikejutkan dengan penarikan diri Syazlin sebaik saja prosiding pada hari ke-37 itu bermula di Mahkamah Koroner Shah Alam.

Syazlin ialah satu-satunya peguam mewakili KPKT dan JBPM, manakala keluarga Adib diwakili seorang lagi peguam, iaitu Ahmad Taufiq Baharum.

Hizwan berkata, Syazlin dilantik sejak peringkat awal lagi untuk membantu mencari fakta penuh bagi menentukan punca kematian Adib sejak prosiding bermula pada 11 Februari lalu.

“Ini adalah perkara sangat penting kepada JBPM dan KPKT kerana seorang anggota jabatan itu meninggal dunia ketika menjalankan tugasnya.”

Beliau turut menyifatkan laporan media yang memetik sumber di Jabatan Peguam Negara berhubung pelantikan Syazlin tidak dimaklumkan kepada jabatan itu sebagai mengelirukan kerana tidak memberi gambaran penuh terhadap apa yang berlaku.

Katanya, Syazlin yang merupakan isteri setiausaha akhbar Zuraida, Ahmad Soffian Mohd Shariff, dilantik mewakili pihak KPKT dan JBPM dalam inkues itu atas dasar “pro bono” tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Syazlin menerima pelantikan itu dan menjalankan tugasnya tanpa sebarang bayaran dan atas semangat perkhidmatan awam.

“Kami mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan atas perkhidmatan yang diberikannya.”