15 barang ‘medicine box’ perlu disediakan sempena cuti sekolah, Hari Raya

Sempena musim perayaan dan musim cuti sekolah, pastinya majoriti ibu bapa sudah menyediakan segala keperluan seperti baju raya untuk anak-anak.

Namun, jangan pula terlepas pandang dari sudut kesihatan anak-anak pada musim perayaan ini.

Ini kerana tidak semua farmasi atau klinik dibuka pada hari cuti perayaan apatah lagi di kampung pendalaman pastinya sukar untuk mendapatkan apa jua bekalan ubat yang diperlukan.

Jadi ibu bapa kenalah standby semua barangan “emergency” ini.

15 barangan perubatan kena standby sempena raya

Cuti sekolah sudah bermula, baju raya dah siap, kuih raya dah siap malah ada yang sudah siap “packing” barang nak balik kampung.

Namun ada perkara yang ramai lupa untuk bersedia iaitu dari segi barang perubatan.

Musim perayaan, banyak klinik dan farmasi akan bercuti lama.

Jadi, bagi mereka yang mempunyai anak kecik perlulah siapkan beberapa alatan asas penjagaan kesihatan termasuklah dari segi ubat yang bersesuaian.

1. Tisu basah / baby wipes

Ini antara benda penting yang semua orang perlu ada terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil.

2. Gel ubat gatal

Musim raya ini, kita makan macam-macam, kadang anak yang menyusu badan pula yang kena cirit birit sampai melecet bontot. Benda ini sangat membantu elakkan kulit menggelupas akibat kerap basah.

3. Ubat batuk

Boleh beli ubat batuk komersil atau di farmasi. Sila ikut sukatan yang disyorkan pada kotak produk. Baca betul-betul. Jangan salah. Baca juga mana sesuai untuk kanak-kanak, mana yang tidak. Ada yang menyebabkan mengantuk, jadi hati-hati.

4. Syringe / picagari

Ini untuk beri ubat pada anak-anak kecil. Nak buat cuci luka pun boleh.

5. Cawan

Dah makan ubat, mesti nak minum, kan? Standby je satu cawan plastik. Manalah tahu diperlukan.

6. Nasal aspirator

Kalau hidung anak berhingus dan tersumbat, boleh gunakan ia untuk melegakan pernafasan anak. Picit, masuk lubang hidung, dan lepas.

Nasal Aspirator manual: ini versi kena sedut pakai mulut. Bila sedut, hingus masuk tabung kecil tu, tak masuk mulut anda. Cuma virus/bakteria dari anak boleh masuk mulut anda.

Nasal Aspirator elektrik: ini jenis pam elektrik. Paling senang. Tapi mahal.

7. Saline spray

Ini spray untuk legakan hidung berhingus. Boleh guna untuk bayi dan anak-anak kecil. Boleh beli di farmasi.

8. Ubat paracetamol

Ubat paracetamol juga perlu dibeli siap-siap. Sakit kepala. Sakit tangan lenguh kacau dodol. Sakit hati je tak boleh. Kalau sakit hati cepat-cepat minta maaf. Bila lagi nak minta maaf kalau bukan Hari Raya.

9. Calamine lotion

Kalau gatal-gatal, ruam-ruam biasa, bolehlah sapu ni. Lega, boleh tidur nanti.

10. Swab alkohol

Ini alkohol dalam bentuk swab. Koyak paket dia, keluarkan tisu beralkohol, dan lap kawasan yang kita nak sterilkan. Ada jual di farmasi.

11. Plaster aid

Semua orang kenal dengan plaster. Ia sangat berguna jika terdapat sebarang luka terutama kanak-kanak yang suka berlari.

12. Tweezers

Boleh guna untuk cabut selumbar ke, apa ke. Cabut uban nenek anda pun boleh juga.

13. Termometer

Beli termometer. Mudah. Cuma jangan beli yang ada bebuli merkuri. Kalau pecah bebuli dia nanti, susah nak bersihkan. Beli yang eletronik. Yang baca dahi ke, telinga ke, tak kisah.

14. Flavin/ ubat kuning

Kalau ada luka, cuci bersih-bersih pakai saline water, kemudian pakai ini. Tutup dengan gauze, dan balut.

15. Bekas

Gunalah bekas apapun, asalkan bersih. Susun barang-barang di atas elok-elok. Simpan dalam tempat kering dan suhu bilik. Kecuali ubat. Ubat kena simpan ikut apa yang disyorkan oleh pengeluar. Kalau nak balik kampung, bawa kotak ni sekali. Kalau tengah jalan jika ada apa-apa berlaku, ia pasti akan memudahkan persiapan anda.

Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]