‘Ceroboh’ istilah tepat, MB jawab aktivis Orang Asli

Ahmad Faizal Azumu.

IPOH: Tindakan menghentam kerajaan negeri hanya kerana penggunaan istilah “ceroboh” bagi merujuk tindakan Orang Asli memasuki tanah kerajaan tanpa kebenaran adalah tidak wajar, kata Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata istilah “menceroboh” sebagai tepat untuk digunakan ke atas pihak yang memasuki tanah kerajaan tanpa kebenaran.

“Ada istilah tertentu digunakan bila berlaku sesuatu perkara. Bila tanah itu milik kerajaan, istilah kita gunakan adalah ‘ceroboh’.

“Jadi kalau istilah yang menjadi perkara seperti kami ini zalim, saya tidak fahamlah kenapa,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan juadah Aidilfitri 2019 kerajaan negeri kepada pasukan berseragam di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Faizal mengulas kenyataan aktivis Orang Asli, Tijah Yok Chopil yang membidas beliau kerana menggunakan perkataan “menceroboh” bagi merujuk tindakan masyarakat Orang Asli memasuki tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Faizal pada 18 Mei berkata pihaknya perlu bertindak tegas dalam melaksanakan undang-undang kerana negara ini bukan negara koboi.

Menjelas lanjut, menteri besar itu berkata walaupun kerajaan negeri tegas menangani pencerobohan tanah kerajaan, namun sehingga hari ini belum ada penduduk Orang Asli dikenakan tindakan undang-undang.

“Apakah tindakan yang pernah dibuat oleh kerajaan negeri dalam menangani perkara seperti Orang Asli membuka kampung-kampung baru di kawasan hutan simpan? Apakah kerajaan menahan mereka, ambil tindakan undang-undang ke atas mereka?

“Apakah rumah-rumah di Kampung Tasik Asal Cunex, Gerik dirobohkan oleh kerajaan hingga mereka tidak ada tempat berteduh?” soalnya sambil menegaskan kerajaan sentiasa cuba menyelasaikan masalah rakyat tanpa mengira kaum.

Ditanya jika kritikan yang diterima mempunyai agenda tertentu, Faizal berkata: “Saya tidak dapat puaskan hati semua pihak. Ada yang tidak setuju kami jadi sasaran. Dia tiada agenda terhadap saya (peribadi), tapi kepada menteri besar”.