Kenali 6 jenis susu dalam tin di pasaran

Minuman yang manis sudah semestinya menjadi pilihan orang ramai ketika berbuka puasa dan ketika menyambut musim perayaan.

Apa yang pasti, minuman sebegini mengandungi kandungan gula dalam susu tin yang banyak.

Mungkin ramai yang akan terlepas pandang dalam hal penjagaan kesihatan terutamanya “level” manis ketika musim perayaan ini.

Oleh itu, pakar nutrisi berkongsikan perbezaan antara susu dalam tin yang dijual di pasaran.

Banyaknya jenis susu, yang mana satu okay?

Lepak mamak pekena teh tarik, kopi tarik? In-trend dengan bubble tea, teh ais kaw cincau? Atau sedap lagi ABC bawah pokok?

Ya, memang rasa sedap, manis dan kaw tapi tahukah apa yang diletakkan dalam minuman itu?

Susu kan? Betulkah “susu”? Ataupun susu segar? Susu cair? Susu pekat? Krimer? Atau krimer manis? Ataupun panggil ja semuanya “susu tin”?

“Wah ada macam-macam jenis ke?” Ingatkan semua “susu dalam tin” sama ja.

Salah kefahaman tu. Hakikatnya, kebiasaannya tak guna susu tapi akan digunakan krimer atau krimer manis sahaja.

1. Susu sejat penuh krim (evaporated full cream milk)

Susu yang disejatkan airnya, lebih dikenali sebagai susu cair oleh orang kita.

2. Susu pekat manis penuh krim (sweetened condensed full cream milk)

Susu yang disejatkan airnya menjadi lebih pekat dan ditambah gula. Kebiasaannya ramuan utama bukan susu tapi gula.

3. Susu isian sejat (evaporated filled milk)

Susu yang disejatkan airnya. Lemak dalam susu tu pula dikeluarkan dan diganti (atau senang cerita “diisi”) dengan minyak tumbuhan.

4. Susu isian manis (sweetened filled milk)

Sama seperti susu isian sejat dan ditambah gula (gula adalah ramuan utama).

5. Krimer sejat (evaporated creamer)

Ianya berasaskan minyak tumbuhan, selalunya minyak sawit yang diproses dan dilunturkan menjadi putih seakan susu. Juga terdapat dalam jenis serbuk (krimer kopi). Banyak digunakan dalam minuman pracampur/ 3 dalam 1, bubble tea, carrot “susu”, masakan, nasi minyak, kuih, dessert dan ABC.

6. Krimer manis (sweetened creamer)

Sama seperti krimer yang berasaskan minyak tumbuhan dan ditambah dengan gula (kandungan gula adalah ramuan utama) dan biasa digunakan dalam minuman panas seperti teh tarik, sirap bandung dan sebagainya di kedai makan.

Kalau lagi hipster – krimer yang berperisa (coklat, strawberi, karamel) makan ngan roti.

Biasanya, krimer akan diberi nilai tambah dengan menambah mineral atau vitamin.

Kuantiti yang ditambah tu jarang memberi impak baik berbanding gula yang kita sedia tahu implikasi kesihatan jika diambil secara tidak terkawal.

Selama ini anda gunakan yang mana satu?

Kalau dirujuk Piramid Makanan Malaysia, hanya susu sejat penuh krim (1 sajian = 2/3 cawan susu sejat) yang tergolong dalam kumpulan susu dan produk tenusu.

Menurut Akta Makanan 1983 pula, krimer tergolong di bawah kategori bahan pemanis (sweetening substance).

Jadi, tak hairanlah bila negara kita tersenarai dalam statistik negara paling obes dan mendahului carta bilangan pesakit kencing manis yang ramai sebab kerap dan banyak mengambil minuman/makanan berasaskannya.

Bangga? Fikirkan semula, amalkan kesederhanaan!

Nota: Kebiasaannya, susu diimport dalam bentuk pepejal susu dan lemak susu yang kemudiannya diproses/ dicampur semula ke bentuk cecair sebelum dipek untuk dijual (recombined milk).

Jadi, pada label ramuan akan dilabel lemak susu, pepejal susu. Malah, ada krimer sejat/krimer manis yang masih mengandungi pepejal susu, namun kandungannya tidak sebanyak minyak tumbuhan+gula yang menyebabkan produk tersebut tidak memenuhi kriteria perlabelan sebagai susu.

Apa pun, rajinlah baca label dan kenali jenis produk. Label produk mungkin berubah mengikut formulasi terkini.

Sumber Thiru Kanesh, Nutritionist Thiru,

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]