Lelaki ancam serang kuil Seafield kena 8 pertuduhan

Mahadi Mamat, 34, didakwa atas 8 pertuduhan termasuk berhubung aktiviti keganasan. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh binaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 8 pertuduhan, termasuk berhubung aktiviti keganasan dan membuat ancaman serangan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Tertuduh Mahadi Mamat, 34, hanya mengangguk faham ketika semua pertuduhan terhadapnya, dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk membuat serangan di Kuil Sri Maha Mariamman, dan mengancam untuk membunuh 4 individu warganegara Malaysia, melalui kumpulan WhatsApp “Sejati Sejiwa”.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kampung Teris, Hulu Terengganu, antara 7 Jan hingga 5 Mei 2019 mengikut Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda.

Untuk pertuduhan ketiga, Mahadi didakwa memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ dalam persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130F (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut mengikut Seksyen 130F (b) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman maksimum 7 tahun dan denda.

Dalam pada itu bagi pertuduhan kelima dan keenam, Mahadi didakwa mendapatkan 6 butir “pipe bomb” dan sepucuk pistol semi-automatik CZ 75 B serta 15 butir peluru jenis “Luger 9mm” untuk melaksanakan perbuatan-perbuatan pengganas.

Kesalahan di bawah Seksyen 130JD (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) itu membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagi kesalahan ketujuh, lelaki itu didakwa merekrut beberapa individu menyertai kumpulan WhatsApp “Sejati Sejiwa”, untuk melakukan perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130E Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Berdasarkan pertuduhan terakhir Mahadi didakwa memilik barang-barang yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS dan perbuatan keganasan dalam sebuah telefon bimbit, mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 7 tahun, dan denda, dan boleh dilucuthak mana-mana item berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 9 Julai ini bagi sebutan semula kes.