Mahkamah batal waran tangkap bekas ketua perisik

Mahkamah Tinggi mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasanah Abdul Hamid kerana tidak hadir pengurusan kesnya Jumaat lalu. 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan waran tangkap terhadap bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid selepas beliau gagal menghadiri prosiding kes minggu lepas.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat perintah itu setelah mendengar penjelasan peguam Hasanah mengenai ketidakhadirannya pada pengurusan kes pecah amanah berjumlah RM50 juta pada Jumaat.

“Waran itu dibatalkan selepas dia membuat permohonan maaf sepenuhnya kepada mahkamah,” katanya.

Beliau juga mengarahkan Hasanah dan salah seorang penjaminnya hadir ke mahkamah pada tarikh prosiding kes akan datang.

Peguam Hasanah, Shahrudin Ali sebelum ini memberitahu mahkamah ketidakhadiran anak guamnya adalah tidak disengajakan.

“Dia berada di rumah pada masa itu, dan sebagai peguamnya, kami terlepas pandang tarikh itu dan lupa memaklumkannya,” katanya.

Beliau juga mengatakan kehadiran Hasanah tidak diperlukan dalam pengurusan kes kerana mereka tidak dianggap sebagai sebahagian daripada perbicaraan, sambil menambah tidak ada asas undang-undang untuk mengeluarkan waran tangkap.

Seorang lagi peguam Hasanah, K Balaguru, berkata tidak ada kesalahan “tidak hadir ke mahkamah” di bawah undang-undang.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Iskandar Ahmad berkata undang-undang menghendaki tertuduh hadir di mahkamah.

“Seksyen 172 B Kanun Tatacara Jenayah menjadikan ia mandatori untuk tertuduh hadir di mahkamah untuk pengurusan kes,” katanya.

“Saya serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan waran itu.”

Hasanah didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan antara 30 April lalu hingga 9 Mei 2018 di pejabatnya di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.