Mahkamah Myanmar keluarkan waran tangkap terhadap sami radikal

YANGON: Sebuah mahkamah di Myanmar mengeluarkan waran tangkap pada lewat Selasa terhadap seorang sami radikal anti-Islam selepas satu pertuduhan hasutan dikemukakan terhadapnya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai polis.

Seorang pegawai kerajaan di Mahkamah Yangon Barat mengemukakan pertuduhan itu terhadap Wirathu, yang disifatkan oleh majalah Time sebagai “the Face of Buddhist Terror” kerana sentimen anti-Islam, kata Kolonel Myo Thu dari ibu pejabat polis di Nay Pyi Taw pada Rabu.

“Hakim menerima saman itu dan mengeluarkan waran tangkap pada lewat Selasa,” katanya kepada Anadolu.

Waran itu dikeluarkan oleh hakim berhubung percubaan membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, kata Myo Thu, sambil menambah pertuduhan tersebut membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Bagaimanapun, polis setakat ini belum menahannya,” kata beliau tanpa memberikan butiran lanjut mengenai kelewatan itu.

Pegawai kanan kerajaan baru-baru ini dipetik media tempatan sebagai berkata, Wirathu akan didakwa selepas tular awal bulan ini sebuah klip video memaparkan sami itu secara lisan menyerang penasihat kerajaan, Aung San Suu Kyi disatu ceramah.

Wirathu berada di biaranya yang terletak di bandar kedua terbesar Myanmar iaitu Mandalay sejak Isnin dan tiada polis yang muncul untuk menahannya, menurut pengikut setia beliau, Aung Kyaing.

“Beliau kini dalam perjalanan ke Yangon selepas majlis kanan sami memanggilnya,” kata Kyaing merujuk kepada Jawatankuasa Sangha yang melarang Wirathu berceramah selama setahun pada pertengahan 2017.

Wirathu, yang pernah menggelarkan dirinya sebagai “the Buddhist Bin Laden,” memainkan peranan utama dalam menyebarkan sentimen anti-Islam dalam kalangan penduduk negara yang majoritinya beragama Buddha sejak keganasan meletus di negeri Rakhine pada pertengahan 2012.