Memalukan, PSM bidas pemimpin DAP selepas blok sekolah letak namanya

PSM membidas Nga Kor Ming tidak sepatutnya meneruskan amalan buruk menamakan bangunan sekolah sempena ahli politik seperti zaman pentadbiran terdahulu.

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) membidas Nga Kor Ming tidak menolak keputusan sebuah sekolah Cina menamakan sebuah blok baru sempena namanya dan meminta pemimpin DAP itu belajar daripada Dr Mahathir Mohamad yang enggan tempat awam dinamakan sempena beliau.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan turut menyifatkan alasan Nga yang itu ialah keputusan lembaga pengarah sekolah terbabit sebagai “tidak boleh diterima dan menjijikkan”.

“Walaupun ia keputusan lembaga pengarah sekolah untuk memilih namanya, beliau masih boleh menolaknya dengan baik dan meminta mereka tidak berbuat demikian.

“Mungkin beliau patut belajar sesuatu daripada bosnya, Mahathir dalam perkara ini,” kata Arutchelvan.

Baru-baru ini, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Min di Taiping, Perak memutuskan untuk menamakan sebuah blok baru dengan nama Nga yang kemudiannya dikritik MCA.

Nga yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat mempertahankan tindakan sekolah itu dengan berkata, ia adalah cara mereka mengucapkan terima kasih kepadanya yang membantu mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak berkuasa.

Katanya, langkah sekolah itu turut menunjukkan rakyat Malaysia beradab.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Nga memberi alasan amalan menamakan bangunan di sekolah sempena ahli politik bermula pada zaman pentadbiran terdahulu.

“Beliau sepatutnya tidak meneruskan amalan buruk ini. Sebagai timbalan speaker, beliau sepatutnya menunjukkan teladan dan menolak atau mengarahkan lembaga pengarah sekolah itu tidak berbuat demikian.”