Mohon ikat jamin jika ada alasan kukuh, kata peguam selepas Samirah bebas

Samirah Muzaffar dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan 2 penjamin, semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dua peguam mengalu-alukan keputusan Mahkamah Persekutuan memberi ikat jamin kepada balu Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan sementara menunggu perbicaraan kes bunuh pada September, mengatakan perkara yang sama perlu diperluaskan kepada semua orang yang mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pembebasan bersyarat.

M Visvanathan dan Sreekant Pillai berkata mahkamah tertinggi mentakrifkan dengan betul peruntukan di bawah undang-undang dalam keputusannya membebaskan Samirah Muzaffar dengan ikat jamin RM500,000 dengan 2 penjamin.

Selain diberi ikat jamin, mahkamah mengenakan syarat ketat ke atas pergerakan Samirah dengan memerintahkannya kekal di rumah dari jam 6 petang hingga jam 8 pagi.

Samirah didakwa bersama 2 remaja lain membunuh Nazrin di rumahnya di Mutiara Damansara pada 14 Jun tahun lepas.

Mahkamah Tinggi membebaskan remaja tersebut dengan ikat jamin RM50,000 dengan 2 penjamin setiap seorang pada Mac.

Visvanathan yang mengendalikan kes jenayah, berkata ikat jamin bagi individu yang dituduh melakukan kesalahan hukum bunuh tidak boleh dihadkan kepada kumpulan tertentu.

“Saya mengalu-alukan keputusan itu (memberikan ikat jamin kepada Samirah) kerana mahkamah memperbetulkan penafsiran apa yang dimaksudkan Seksyen 388(1) Kanun Prosedur Jenayah dengan maksud yang ‘jelas dan biasa’ bahawa seorang wanita boleh dikenakan ikat jamin jika terdapat alasan yang munasabah untuk permohonannya.

“Saya harap ini bukan keadaan sekali sahaja dan keputusan itu boleh dikenakan kepada semua individu yang mempunyai alasan yang kuat untuk mendapatkan ikat jamin tanpa mengira status sosial mereka,” katanya.

Seksyen 388 menyatakan mahkamah “boleh mengarahkan mana-mana individu di bawah umur 16 tahun atau mana-mana wanita atau mana-mana orang sakit atau lemah” yang dituduh melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup diberi ikat jamin.

Visvanathan menambah ikat jamin bagi kes pembunuhan yang sama dengan Samirah bukan luar biasa kerana Mahkamah Tinggi pada Ogos 2002, membenarkan ikat jamin RM500,000 kepada peguam Balwant Singh yang dituduh menembak seorang penghantar surat.

Sementara itu, Sreekant berkata keputusan itu boleh membawa harapan kepada orang lain yang ditahan sementara menunggu perbicaraan.

“Mereka yang merasakan mereka berada di bawah kriteria Seksyen 388(1) boleh memohon ikat jamin,” katanya.

Beliau bersetuju dengan Visvanathan bahawa ikat jamin harus dibenarkan bagi individu dengan alasan yang kuat tanpa melihat status sosial mereka, Sreekant juga mengatakan ia harus menjadi “jumlah mereka yang mampu”.

Seorang peguam lain, V Parthipan, memberi amaran permohonan untuk ikat jamin tidak boleh “dilabelkan” kepada semua wanita yang dituduh melakukan kesalahan hukum bunuh.

“Hakim Mahkamah Tinggi masih memiliki budi bicara sama ada atau tidak untuk membenarkan seseorang yang didakwa dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya, sambil menambahkan mereka harus dilayan berasaskan kes ke kes.