Najib ‘susah hati’ RM42 juta wang SRC International dalam akaunnya, kata saksi

Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam perbicaraan rasuah dan penyalahgunaan kuasa Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, bekas perdana menteri itu terkejut selepas tahu seseorang memindahkan wang ke akaun peribadinya.

Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Shamsul Anwar Sulaiman berkata beliau menemui Najib di kediaman persendiriannya pada hari ke-3 Aidilfitri 2015, sejurus selepas beliau dibebaskan daripada tahanan susulan satu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Beliau terkejut seseorang memasukkan wang ke akaunnya dan tidak tahu siapa orangnya. Beliau susah hati,” kata saksi ke-37 ketika pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Shamsul berkata, berdasarkan tingkah laku Najib, beliau membuat kesimpulan reaksi ahli Parlimen Pekan itu bukan dibuat-buat.

“Bagaimanapun, kami tidak bincang lanjut tentang perkara itu.”

Shamsul berkata, beliau sudah meminta maaf kepada Najib kerana Ihsan Perdana ialah syarikat terakhir yang memindahkan wang ke akaunnya di Ambank Jalan Raja Chulan.

Beliau tidak percaya Najib pernah melakukan perkara tidak wajar ketika memegang jawatan dalam kerajaan.

“Beliau serius dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sentiasa menggalakkan saya dalam kerja sedemikian.”

Shamsul Anwar Sulaiman ialah saksi ke-37 perbicaraan rasuah dan penyalahgunaan kuasa Najib Razak.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta ke akaunnya daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Beliau turut didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan untuk pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Pada 15 Mei lalu, Shamsul memberitahu mahkamah yang akaun bank Ihsan Perdana digunakan sebagai akaun transit untuk menyimpan wang sebelum dipindahkan.

Ini termasuk RM42 juta yang kemudiannya dimasukkan ke 2 akaun dengan 4 nombor terakhir 1880 dan 1906 di AmPrivate Banking-1MY, yang didaftarkan bawah nama Najib.

Shamsul berkata, Pengarah Projek Yayasan Rakyat 1Malaysia, Dennis See sudah meminta syarikatnya memasukkan wang itu ke akaun Najib, tetapi beliau enggan mendedahkan identiti benefisiarinya.

Hari ini, beliau berkata, syarikatnya tidak akan menghantar wang itu jika beliau tahu ia akaun Najib.

Terdahulu, beberapa saksi pendakwaan dilaporkan berkata, RM50 juta daripada Gandingan Mentari Sdn Bhd Bhd, sebuah anak syarikat SRC, dimasukkan ke akaun Ihsan Perdana.

Shamsul berkata, beliau tidak tahu siapa yang memasukkan RM50 juta ke akaun bank Ihsan Perdana.

Beliau berkata dia diancam oleh pegawai-pegawai SPRM pada 2015 dengan tuduhan pecah amanah berhubung RM42 juta yang dipindahkan ke akaun Najib.

Beliau berkata, dia memberitahu SPRM wang itu untuk projek CSR, tetapi pegawai-pegawai itu enggan mempercayainya.

Beliau berkata SPRM selalu mengingatkan beliau yang dia berdepan prospek didakwa.

“Saya bimbang, tetapi saya nafi kerana saya tidak pernah mengenali penerima. Saya memberitahu mereka, anda mahu saya menyatakan yang benar atau berbohong?” kata Shamsul kepada Shafee semasa pemeriksaan balas.

Shamsul berkata beliau memberitahu penyiasat bahawa dia berjanji akan menyatakan kebenaran dan dia percaya wang itu untuk CSR.

“Saya sudah berumpah, saya perlu bercakap benar. Mereka minta saya menyatakan sesuatu yang lain, tetapi saya tidak mahu,” katanya, dan menambah SPRM “mahu membabitkan beberapa orang, termasuk Najib.”