Parti sendiri huru-hara, PAS beritahu Anwar

Idris Ahmad berkata parti PKR huru-hara dan ahlinya bergaduh sesama sendiri seperti dalam pemilihan parti mereka sebelum ini.

PETALING JAYA: PAS menasihati Presiden PKR, Anwar Ibrahim melihat partinya sendiri terlebih dahulu sebelum membuat ulasan mengenai gabungan Umno dan PAS.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata PKR sendiri huru-hara dan bergaduh sesama sendiri seperti dalam pemilihan parti mereka sebelum ini.

“Kami tahu kekuatan kami. InsyaAllah sokongan (Umno-PAS) makin meningkat,” katanya kepada FMT.

Semalam, media melaporkan Anwar yakin kerjasama antara Umno dan PAS akan mula merosot apabila semakin hampir pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ekoran perbezaan antara 2 parti itu.

“Menjelang PRU, mereka akan berbalah… berkenaan dasar dan idea,” katanya selepas mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, di Parlimen, semalam.

Umno dan PAS dilaporkan akan memeterai piagam bersama bagi mengukuhkan kerjasama.

Menurut Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, piagam itu kini dalam penelitian akhir jawatankuasa tertinggi kedua-dua parti dan akan menjadikan kerjasama lebih teratur, sama ada di peringkat nasional dan juga negeri.

Mengulas lanjut, Idris Ahmad berkata terdapat pelbagai faktor sokongan Umno-PAS meningkat, antaranya pencapaian Pakatan Harapan (PH) yang kurang memberangsangkan.

“Selain itu, janji PH tidak ditunai dan dulu sebut apabila mereka naik (tadbir kerajaan), tahap ekonomi akan makin baik tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Kerajaan PH juga janji nak wujudkan tadbir urus yang baik, tetapi kita lihat banyak kes-kes yang melibatkan kepimpinan mereka digugurkan begitu sahaja,” katanya.

Idris menambah rakyat kini sudah pandai dan boleh menilai mana yang betul dan mana yang tidak betul.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata beliau yakin sokongan terhadap PH akan semakin merosot.

Khaled berkata beliau juga boleh membuat kenyataan seperti yang dibuat Anwar.