Pertubuhan Peladang henti sementara 5 anak syarikat tak berdaya maju

Phaharolrazi Mohd Zawawi (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima asnaf pada Majlis Iftar Pertubuhan Peladang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Kawasan Rukun Tetangga DUN Alor Mengkudu di Kedah semalam. (Gambar Bernama)

ALOR SETAR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menghentikan sementara perniagaan 5 anak syarikatnya yang tidak berdaya maju untuk mengkaji semula syarikat itu boleh diteruskan atau sebaliknya.

Pengerusi Nafas, Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata tindakan itu dibuat sejak bulan lalu selepas pihaknya mendapati syarikat itu tidak menjalankan sebarang perniagaan dan mengalami kerugian berterusan.

“Ada di antara syarikat itu terlibat dalam perdagangan yang ‘tidak pasti’ dengan sebuah syarikat di India dan menjalankan usaha sama dalam bidang pendidikan diploma dengan sebuah universiti di Kuala Lumpur yang tidak mendapat sambutan.

“Buat masa ini, syarikat ini kita tidak tutup, cuma kita hentikan perniagaan sementara bermula bulan lalu untuk kita kaji semula sama ada akan teruskan ataupun kita berhentikan perniagaan tersebut,” katanya pada Majlis Iftar Pertubuhan Peladang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Kawasan Rukun Tetangga Dewan Undangan Negeri Alor Mengkudu di sini, malam tadi.

Adun Alor Mengkudu itu berkata, langkah menghentikan sementara perniagaan 5 daripada 11 anak syarikat Nafas itu sebahagian usaha menyusun semula tadbir urus pertubuhan itu dan syarikat di bawahnya.

“Terdapat perniagaan Nafas yang mengalami kerugian kita tutup, ada sebahagian kita buat pemulihan, sementara syarikat yang berdaya maju pula kita majukan lagi supaya ia berkembang.

“Oleh kerana Nafas ini lebih kepada perniagaan, jadi banyak kesilapan pimpinan Nafas lalu kita perlu perbaiki dan letakkan semula Nafas di landasan betul.”

Katanya, selain berperanan membekal baja bersubsidi kepada peladang, Nafas juga terlibat membekalkan ayam kepada kontrak kerajaan dan memiliki syarikat pembekalan anak pokok kelapa sawit kepada peladang.

Pada 1 Jun 2018, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggantung operasi Nafas susulan masalah serius tadbir urus terutama aspek daya saing, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan.