Ranjau laut Iran mungkin digunakan dalam serangan kapal UAE, kata AS

John Bolton. (Gambar Reuters)

ABU DHABI: Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat, John Bolton hari ini berkata serangan terhadap kapal tangki minyak di luar pesisir Emiriah Arab Bersatu bulan ini perbuatan “ranjau-ranjau laut yang hampir pasti daripada Iran”.

UAE belum menyalahkan mana-mana pihak atas sabotaj 4 kapal itu, termasuk 2 kapal tangki Saudi, yang kemudian disusuli dengan serangan dron terhadap stesen mengepam minyak di Arab Saudi.

Riyadh menuduh Tehran mengarahkan serangan itu, yang mana gerakan Houthi di Yemen mengaku bertanggungjawab. Iran menafikan ia terlibat dalam serangan-serangan itu.

“Saya fikir ia ranjau-ranjau laut yang hampir pasti daripada Iran,” kata Bolton kepada pemberita di Abu Dhabi.

Beliau enggan memberitahu butiran siasatan yang melibatkan AS itu.

Beliau berkata serangan kapal-kapal tangki itu berkaitan dengan serangan terhadap stesen mengepam minyak di saluran paip Timur-Barat di Arab Saudi dan serangan roket di Zon Hijau di Baghdad, Iraq.

Pihak berkuasa Iran belum memberikan reaksi kepada kenyataan Bolton.

Bolton berkata terdapat serangan-serangan tidak berjaya di pelabuhan Yanbu, Arab Saudi di Laut Merah beberapa hari sebelum operasi di pesisir laut UAE.

Pegawai kerajaan Saudi belum memberikan komen.

Kami mengambil serius semua perkara ini,” katanya. “Malangnya serangan-serangan ini konsisten dengan maklumat ancaman yang kami peroleh. Ini satu sebab kenapa kami tingkatkan keupayaan pencegahan kami di rantau itu.”

Ketegangan antara AS dan Iran melarat sejak Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian yang direka untuk mengekang kegiatan nuklear Iran dan ditandatangani dengan kuasa-kuasa utama lain.

Pentadbiran Trump mengetatkan sekatan ke Iran, terutamanya menyasarkan eksport minyaknya, menambah keberadaan tenteranya di Teluk, dan menuduh Iran mengancam askar dan kepentingannya.

Bolton berkata AS cuba bersikap “cermat dan bertanggungjawab” dalam pendekatannya. “Kami mahu Iran dan sekutunya sedar kegiatan-kegiatan seperti itu mengundang respon yang sangat keras daripada kami.”

Iran berkata Amerika Syarikat sedanng melakukan perang psikologi dan ia tidak takut.