Tahanan Pakistan di Malaysia bakal sambut Aidilfitri di negara asal

Perdana Menteri Imran Khan mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM1.3 juta untuk membantu 315 warga Pakistan yang terkandas di Malaysia.

PETALING JAYA: Seramai 315 banduan Pakistan yang menyelesaikan tempoh hukuman penjara di Malaysia akan pulang ke nagara asal pada Hari Raya Aidilfitri ini, selepas terkandas di negara ini.

Ia susulan campur tangan Perdana Menteri Imran Khan, yang mengumumkan bantuan kewangan sebanyak Rs50 juta (RM1.3 juta) daripada Pejabat Luar Negara dan dana zakat negara itu untuk membantu menampung kos penerbangan tahanan kembali ke tanah air.

Associated Press Pakistan melaporkan tahanan itu akan pulang ke Pakistan pada malam Rabu dengan penerbangan khas dan akan diberi sambutan meriah oleh kerajaan.

Seorang jurucakap Islamabad dipetik sebagai berkata tahanan yang disabitkan dengan pelbagai kesalahan imigresen berdepan masalah kewangan.