Tak boleh halang orang kaya masuk matrikulasi, kata pemimpin Melayu

Kos pengajian dan penginapan pelajar di program matrikulasi ditanggung oleh kerajaan dan pelajar hanya perlu membayar yuran pendaftaran.

PETALING JAYA: Pandangan pihak tertentu yang mahu menghalang Melayu dan Bumiputera daripada golongan berpendapatan tinggi (T20) memasuki program matrikulasi tidak dipersetujui pemimpin yang memperjuangkan kaum itu.

Setiausaha Majlis Perundingan Melayu (MPM) Hasan Mad mengakui golongan T20 sebelum ini mengambil hak golongan B40 menerusi institusi politik sehingga program pendidikan dalam rangka Dasar Ekonomi Baru seperti program matrikulasi, sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tersasar.

“Dari segi pelaksanaan, diakui wujud salah guna kuasa dengan mengambil hak golongan B40. Bukan itu sahaja, T20 juga mencuri kesempatan untuk rebut peluang itu untuk anak-anak mereka.

“Disebabkan dosa mereka, program itu tersasar. Bahkan, ia juga menyebabkan golongan B40 termasuk yang berada di kawasan bandar terus tercicir,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun Hasan berkata, tidak semua T20 seharusnya dilabelkan sedemikian kerana, menerusi agenda perkongsian kemakmuran cetusan Putrajaya, semua pihak harus diberikan peluang.

“Jika ada mana-mana hendak pertikaikan isu ini, tidak seharusnya melabelkan semua Bumiputera sama.

“Isu ketidaksamaan peluang memang wujud dalam kalangan Melayu dan Bumiputera. Namun yang harus dipertikaikan adalah pihak-pihak yang ‘abuse’ program itu,” katanya.

Program matrikulasi bermula hasil dari Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac 1999 sebagai persediaan pelajar Bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti awam dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

Bermula pada sesi 2003/2004, 10% daripada pelajar matrkulasi ditawarkan kepada pelajar bukan Bumiputera di 15 kolej matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan 2 kolej Mara di seluruh Malaysia.

Bantuan pelajar masuk bidang kritikal

Manakala, Senator Dewan Negara Ibrahim Abu Shah berkata, matlamat asal penubuhan program kolej matrikulasi adalah membantu Melayu dan Bumiputera dalam pendidikan yang sebelum ini diketahui ketinggalan dalam bidang kritikal di institut pengajian tinggi.

“Memang keutamannya diberikan kepada golongan B40, itu saya setuju. Tetapi kalau hendak letakkan syarat anak orang kaya tidak layak, itu panjang ceritanya serta banyak peraturan dan rombakan yang perlu dibuat.

“Kena fikir betul-betul. Buat masa ini, fokus adalah untuk membantu Melayu dan Bumiputera, mendapatkan kelulusan setimpal untuk mereka masuk ke universiti dalam bidang-bidang kritikal,” katanya.

Ibrahim berkata, tidak adil sekiranya minat anak-anak daripada T20 ini dihalang sepenuhnya, memandangkan ada antara mereka berminat untuk melanjutkan pelajaran selepas SPM melalui program pendidikan cetusan kerajaan.

“Saya memikirkan macam ini, kita walaupun boleh katakan anak orang kaya tidak boleh masuk universiti awam, tetapi ada di antara anak-anak ini sudah mempunyai minat dan kehendak masing-masing.

“Anak-anak ini sudah ‘aim’ ke mana hala tuju mereka selepas tingkatan 5. Tetapi, disebabkan mereka anak orang kaya, mereka tidak dibenarkan. Saya rasa kurang sesuai. Saya memikirkan anak-anak.

“Kalau disekat hala tuju disebabkan ibu bapa yang kaya, ia hanya akan ‘demoralized’ anak-anak ini. Saya lihat implikasi kepada anak-anak, bukannya kepada ibu bapa. Lagipun, tidak ramai Melayu yang kaya,” katanya.

Pada 24 April lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata kuota pengambilan pelajar ke program kolej matrikulasi dikekalkan pada kadar 90% untuk Melayu dan Bumiputera, manakala 10% kepada bukan Bumiputera.

Maszlee turut mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk menambah bilangan kemasukan pelajar ke program matrikulasi kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 sebelum ini.

KPM memperuntukkan 60% tempat kepada pelajar daripada B40 dan baki 40% lagi akan diberikan kepada M40 dan T20.

Tak boleh persoal hak Melayu, Bumiputera

Sementara itu, pemimpin pendesak Melayu Ibrahim Ali pula berpandangan, tidak sewajarnya peluang anak-anak Melayu dan Bumiputera dari pelbagai golongan disekat.

Ini kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai hak dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, prinsip ini tidak boleh dipersoalkan serta pada masa sama tidak perlu dipertikaikan lagi hak Melayu dan Bumiputera, tidak kiralah dari golongan kaya atau miskin, kerana semuanya berhak mendapatkan pendidikan dan biasiswa dari kerajaan.

“Cumanya, yang menjadi masalah adalah tempat terhad. Namun saya percaya tempat itu boleh diperbesarkan lagi sementara menunggu kerajaan membina lebih banyak tempat.

“Antara pendekatan yang boleh dilakukan adalah kenakan bayaran kepada golongan T20, bagi membantu lebih banyak golongan B40 atau ‘cross’ subsidi,” katanya.

Ibrahim turut mencadangkan skala kemasukan bagi keseluruhan pelajar Melayu dan Bumiputera serta bukan Bumiputera perlu diubah kepada 50% untuk B40, 30% (M20) 20% (T20).

Menurut portal rasmi KPM, kos pengajian dan penginapan pelajar di program matrikulasi ditanggung oleh kerajaan dan pelajar hanya perlu membayar yuran pendaftaran.

Kadar yuran pendaftaran program matrikulasi sistem 2 semester bagi sesi 2019/2020 ialah RM446.00 bagi program perakaunan, RM516.00 (program kejuruteraan), RM496.60 (program sains), RM521.60 (program sains di Kolej Matrikulasi Sarawak).

Yuran bagi program perakaunan profesional (JPPro) adalah sebanyak RM446 (sebelum hari pendaftaran) dan RM2,280 (dibayar sekiranya berjaya mengikuti JPPro. Yuran program perakaunan di Kolej Mara Kuala Nerang adalah sebanyak RM1,000 dan program sains di Kolej Mara Kulim (RM970).

Manakala kadar yuran pendaftaran program matrikulasi sistem 4 semester bagi sesi 2018/2020 ialah RM291.60 dan program sains (RM496.60).