Tiada masalah ajar Sains, Matematik dalam bahasa Inggeris di luar bandar, kata menteri Sarawak

Michael Manyin (tengah) bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Kuching, hari ini.

KUCHING: Menteri Pendidikan, Penyelidikan Sains dan Teknologi Sarawak, Michael Manyin berkata pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di kawasan luar bandar negeri itu tidak patut dijadikan isu.

Dahulu, katanya, hanya beberapa orang di kawasan luar bandar boleh memahami dan bertutur bahasa Inggeris, tetapi bahasa itu masih digunakan pelajar sekolah rendah.

“Hasilnya adalah baik dan ramai daripada mereka menjadi individu berjaya.

“Hari ini, kira-kira 90% penduduk kampung di Sarawak boleh memahami dan bertutur bahasa Inggeris, jadi apa masalahnya?” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau percaya mereka yang enggan bercakap bahasa Inggeris kerana bimbang membuat kesilapan.

“Fobia sebenarnya datang daripada kami,” katanya sambil menambah beliau mendapat respons positif setakat ini mengenai pelaksanaan program itu di Sarawak.

“Kira-kira 90% menyambut baik langkah itu. Ada yang kata mereka sudah lama menunggunya. Ia baik untuk Sarawak. Ia baik untuk masa depan anak-anak kita.”

Beliau percaya kebanyakan ibu bapa akan menyokong langkah itu kerana ia akan membolehkan generasi muda lebih berdaya saing di pasaran global.

“Generasi muda hari ini sukar bekerja di sektor swasta kerana kebanyakan syarikat menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi, jadi mereka sangat bergantung kepada kerja kerajaan.”

Jika perlu, katanya, pegawai pendidikan daerah akan mengadakan sesi dialog dengan ibu bapa selepas Aidilfitri ini untuk membuat penjelasan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan negeri akan tampil dengan modul latihan bagi guru menjelang akhir Ogos ini.

“Untuk tahun pertama, kami memerlukan kira-kira RM9 juta untuk melatih guru, termasuk buku dan bahan pengajaran. Ketua menteri sedia membantu kami.

“Saya juga bercadang pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan sokongan kewangan kerajaan persekutuan sejurus selepas sambutan Hari Raya.”

Manyin berkata, tidak akan wujud masalah kekurangan guru kerana individu berkelayakan daripada institut pendidikan guru, Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Malaysia Sarawak and Universiti Teknologi Mara sudah dikenal pasti.

“Universiti Curtin dan Swinburne datang sebelum ini dan berkata mereka sedia membantu kami. Mereka ada guru (berkelayakan).”