Daftar penumpang guna MyKad, kata persatuan pemandu e-panggilan

Persatuan Pemandu E-Panggilan Malaysia berkata, ramai pemandu Grab menggunakan banyak akaun dan ini boleh menjejaskan keselamatan penumpang.

PETALING JAYA: Persatuan Pemandu E-Panggilan Malaysia (Mehda) menggesa semua operator e-panggilan mengambil langkah tegas bagi memastikan semua penumpang mendaftar dengan menggunakan kad pengenalan mereka bagi melindungi keselamatan pemandu berikutan kejadian rompakan-bunuh seorang pemandu Grab di Sabah baru-baru ini.

Presiden Mehda Daryl Chong berkata, ini perkara paling penting yang perlu ditangani oleh industri tersebut dan perlu bagi menghalang pelaku jenayah sedemikian daripada terlepas.

“Sesiapa juga boleh mendaftar sebagai penumpang Grab hanya dengan mendapatkan satu kad SIM dan selepas itu menggunakan apa-apa juga nama untuk menjadi penumpang.

“Selain itu, tidak juga adil apabila penumpang boleh mengetahui bahawa seseorang pemandu itu adalah sah, tetapi pemandu tidak pula tahu sama ada penumpangnya sah atau merupakan bakal perompak.

“Penumpang hendaklah diminta mendaftar dengan menggunakan dokumen pengenalan yang sah, misalnya dengan menggunakan MyKad atau pasport mereka,” katanya kepada FMT.

“Operator e-panggilan mesti mengambil kira keselamatan pemandu jika tidak adanya pendaftaran yang sah. Apabila penumpang tidak didaftarkan dengan menggunakan kad pengenalan mereka, maka risiko dihadapi pemandu bertambah.

“Saya sendiri pernah menggunakan beberapa kad SIM bagi menguji sistem berkenaan, dan saya boleh mengakses semua aplikasi e-penumpang dengan mudah.”

Polis Sabah memberitahu mereka berjaya menangkap 2 lelaki berhubung kejadian rompak-bunuh Mohd Hanafiee Jaffar, 27, yang mayatnya ditemui dibuang dalam semak di Sabandar, Tuaran, dekat sini.

Kereta Hanafiee ditemui diparkir berdekatan sebuah bazar Ramadan di Indah Permai di Tuaran pada jam 12.30 malam, 26 Mei.

Kereta itu dikunci, tetapi terdapat kesan darah di stereng, berek tangan, bahagian dalam cermin depan dan pintu depannya.

Chong berkata, beliau sebelum ini meminta operator e-panggilan supaya lebih tegas dalam memastikan semua penumpang didaftarkan secara sah, tetapi malangnya operator berkata isu itu tidak relevan kerana ia melibatkan isu kerahsiaan maklumat peribadi.

“Operator boleh memasukkan klausa yang menetapkan penumpang yang mahu menggunakan perkhidmatan tersebut hendaklah mematuhi peraturan pendaftaran. Ini bagi memastikan semua penumpang adalah sah dan berniat baik.”

Katanya, operator mungkin takut kehilangan penumpang yang mungkin tidak berminat menggunakan perkhidmatan tersebut sekiranya maklumat peribadi mereka diperlukan.

Chong juga berkata, terdapat ramai pemandu Grab yang menggunakan banyak akaun dan ia boleh memberi kesan ke atas keselamatan penumpang.

“Perkara sebegini perlu ditangani dahulu.”

Dalam satu kenyataan, Grab Malaysia berkata, ia komited untuk meminimumkan risiko dan memastikan keselamatan pemandu dan juga penumpang.

“Kami akan terus membangunkan penyelesaian pacuan teknologi, dan meningkatkan kesedaran masyarakat serta program pendidikan.

“Pada masa ini kami menyediakan beberapa peralatan seperti butang kecemasan dan kemudahan “share my ride” yang membolehkan kedua-dua pihak mengongsi maklumat perjalanan dan lokasi GPS secara langsung dengan keluarga dan orang tersayang.

“Kita juga ada kemudahan “pengesahah swafoto penumpang” yang baru dilancarkan.

“Dengan pelancaran awal kemudahan “pengesahan swafoto penumpang”, kejadian jenayah yang melibatkan penumpang di platform kami menurun sebanyak 30%. Ini merupakan keperluan bagi semua pengguna baru.

“Kami akan memperbaiki kemudahan ini dan mengembangkan penggunaannya dalam kalangan lebih ramai pengguna,” katanya.

Ia juga berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan polis bagi mengurangkan kejadian jenayah.