Malaysia tidak terancam, akan terus guna teknologi Huawei, kata Dr Mahathir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, syarikat besar seperti Huawei membuat penyelidikan jauh lebih besar daripada keupayaan penyelidikan Malaysia. (Gambar Bernama)

TOKYO: Malaysia tidak terancam dengan dakwaan pengintipan ke atas syarikat teknologi utama China, Huawei, dan akan terus menggunakan teknologi mereka seluas mungkin, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Kami terlalu kecil untuk menerima impak syarikat besar seperti Huawei yang membuat penyelidakan jauh lebih besar daripada keseluruhan keupayaan penyelidikan Malaysia.

“Oleh itu, kami akan memanfaatkan teknologi mereka seluas mungkin. Ya, mungkin ada bentuk intipan, tapi apa yang nak diintip di Malaysia?” katanya pada sesi dialog pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia (Nikkei Conference) di sini, pada Khamis.

Dr Mahathir tiba di Tokyo pada Rabu untuk lawatan kerja 3 hari.

Perdana menteri berkata, Malaysia mengamalkan pintu terbuka.

“Semua orang tahu jika mana-mana negara mahu menyerang Malaysia, mereka boleh lakukan…” katanya berseloroh.

Pada sesi itu, beliau juga menggesa pentadbiran AS membuat konsesi membabitkan pertikaiannya dengan China, termasuk beberapa dakwaan mengenai aktiviti pengintipan oleh Huawei.

Perdana menteri juga memberi amaran bahawa kegagalan berunding boleh membawa kedua-dua negara itu terlibat dalam konflik ketenteraan.

“(Sebagai contoh), saya faham Huawei mempunyai kelebihan yang besar terhadap teknologi Amerika.

“Namun, jika anda mahukan situasi anda sentiasa berada di hadapan, atau jika anda tidak berada di hadapan, saya akan mengharamkan anda dan menghantar kapal perang ke negara anda.

“Ini bukan persaingan, ini mengancam orang dan itu bukan pendekatan untuk digunakan,” katanya.