Nama pemimpin di blok sekolah sejak zaman BN, kata Nga

Antara nama blok sekolah yang diberi sempena nama pemimpin BN iaitu SJK(C) Chung Cheng mengambil nama pemimpin MCA, Kong Cho Ha.

PETALING JAYA: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming meminta mana-mana pihak tidak menjadikan isu penggunaan namanya di blok sebuah sekolah di Taiping untuk kepentingan politik.

Beliau berkata isu penggunaan nama pemimpin politik bukanlah perkara baru kerana ia turut dilakukan ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut memberi beberapa contoh bangunan sekolah yang diberi nama sempena pemimpin BN.

Antaranya bangunan SJK(C) Kg Koh; SJK(C) Chung Cheng yang diberi nama pemimpin MCA, Kong Cho Ha dan SRJK(C) Khuen Hean yang menggunakan nama pemimpin Gerakan, Lim Keng Yeik.

Nga berkata demikian mengulas kritikan pemimpin PSM, S Arutchelvan yang berkata ahli Parlimen Taiping itu sepatutnya mencontohi Dr Mahathir Mohamad yang melarang penggunaan namanya di bangunan sekolah.

Sebuah blok sekolah sempena nama pemimpin Gerakan, Lim Keng Yeik.

Ahli jawatankuasa pusat PSM itu menyifatkan penjelasan Nga bahawa nama blok itu diputuskan oleh lembaga pengelola SJK(C) Sin Min sebagai “jijik dan tak boleh diterima”.

Nga bagaimanapun berkata semua pihak wajar menghormati keputusan lembaga pengelola sekolah itu yang sebulat suara bersetuju meletakkan namanya tanpa sebarang paksaan.

“Semua pihak wajar menghormati keputusan mesyuarat pihak lembaga pengelola sekolah dan tidak memainkan isu demi kepentingan politik yang tiada manfaat pun kepada sekolah.

“Sila hormati keputusan itu, ia adalah hak mereka,” katanya kepada FMT.

Nga menambah, beliau tidak pernah melobi supaya nama bangunan sekolah berkenaan diberi sempena namanya.

“Saya tidak pernah minta sesiapa pun letak nama saya,” katanya merujuk sekolah berkenaan yang berada di kawasan Parlimennya.