Nasi Lemak Saleha agih 1,000 nasi lemak kepada pengguna LRT

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nasi Lemak Saleha, Saleha Abdullah memberi nasi lemaknya secara percuma kepada 1000 pengguna LRT Pasar Seni.

Nasi Lemak Saleha mengagihkan 1,000 paket nasi lemak kepada pengguna LRT yang diiktiraf sebagai “hero” kerana bekerja sehingga pulang lewat petang, hinggakan ada yang terpaksa berbuka puasa dalam tren dan bas.

Ketua Pegawai Eksekutif, Saleha Abdullah berkata pemberian itu bertujuan membantu mereka membuat persediaan berbuka puasa.

“Program ini merupakan satu bentuk penghargaan kita kepada warga pekerja, yang balik lewat petang, ada yang tak sempat menyiapkan makanan untuk berbuka, dan mungkin ada yang setiap hari berbuka dalam LRT atau bas Rapid KL.

“Ini semua terjadi disebabkan tanggungjawab serta komitmen mereka pada pekerjaan masing-masing.

Saleha bersama Prasarana dan Food Panda turut memberi sumbangan nasi lemak percuma kepada pekerja LRT.

“Atas sebab itu, golongan ini juga layak diiktiraf sebagai hero kita semua. Jadi kita memberi sumbangan kecil kepada hero-hero kita ini, sebanyak 1,000 pek juadah berbuka puasa telah pihak Nasi Lemak Saleha sediakan untuk edaran kepada hero-hero kita ini. Semoga sumbangan makanan ini, dapat membantu sedikit sebanyak persiapan berbuka puasa,” katanya dalam program Buka Puasa Untuk Hero di LRT Pasar Seni yang turut dihadiri 20 anak yatim dari Rumah Anak-Anak Amal Asnaf.

Program itu dijalankan dengan kerjasama Prasarana dan Food Panda yang turut sama hadir menjayakan “Buka Puasa Untuk Hero”.

Seramai 20 orang anak yatim turt hadir memeriahkan program Buka Puasa Untuk Hero dan turut menerima sumbangan duit raya dari Nasi Lemak Saleha.

Nasi Lemak Selaha antara kegemaran masyarakat Lembah Klang dan pernah tular kerana perniagaannya mencecah kutipan RM400,000 sebulan.

Ia mempunyai 2 cawangan iaitu di Sri Rampai dan Ampang, memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri nasi lemaknya.

Hasil kejayaan itu, Nasi Lemak Saleha juga diberi peluang Prasarana untuk membuka beberapa kiosk di stesen LRT bermula dengan stesen di Pasar Seni, Wangsa Maju, Maluri dan Stesen Ampang.

Saleha berkata pihaknya akan menjual nasi lemak tersebut di 5 stesen LRT terpilih bagi memudahkan pelanggan merasai keenakan nasi lemak tersebut.

Ia merupakan fasa pertama dan akan diperkembang lagi pada fasa yang kedua untuk jajaran Subang Jaya dan Putra Heights.

Dengan Food Panda pula, Nasi Lemak berkolaborasi dengannya selama 7 tahun.

Terbaharu, Nasi Lemak Saleha akan menyediakan hidangan nasi lemak itu di seluruh stesen minyak Shell sekitar Lembah Klang selepas Aidilfitri.

Menurut Pengarah Dapur Pusat, Nazri Isa, Nasi Lemak Saleha cawangan Sri Rampai akan beroperasi sebagai tempat memasak sepenuhnya, menggunakan tambahan mesin untuk membuat sambal bagi menampung penghantaran 4,000 pek ke stesen minyak Shell sekitar Lembah Klang nanti.

Cawangan itu juga akan membuka restoran berhampiran dengan dapur pusat tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]