Pakar bom, fasilitator serangan bunuh diri disambar polis

PETALING JAYA: Tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan kumpulan militan IS diberkas polis, termasuk seorang warga Bangladesh yang mempunyai kepakaran membikin bom dan seorang warga Indonesia yang menjadi fasilitator kepada serangan bunuh diri.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam kenyataan hari ini berkata Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas menangkap pakar bom dan fasilitator itu antara 17 hingga 13 Mei lepas.

Turut disambar seorang warga tempatan yang menganggap mana-mana orang Islam yang terlibat dalam pilihan raya “kafir dan boleh dibunuh”.

“Suspek telah berbaiah sebanyak 2 kali dengan Abu Bakar Al-Baghdadi, pemimpin kumpulan pengganas IS melalui Facebook,” katanya.

Siasatan polis mendapati kontraktor berusia 42 tahun itu ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika hendak berlepas ke Mesir bagi menyertai kumpulan IS di Sinai, dan seterusnya menyusup ke Syria.

“Suspek berpegang kuat kepada ideologi Salafi Jihadi apabila menolak sistem demokrasi berparlimen, tidak mengiktiraf kerajaan Malaysia dan institusi agama yang dilabelkan sebagai kafir,” katanya.

Warga Indonesia itu juga turut berbaiah dengan Abu Bakar, melalui aplikasi Telegram. Buruh kasar berusia 20 tahun itu ditangkap di Keningau, Sabah dan disyaki bertindak sebagai fasilitator kepada anggota-anggota IS di Indonesia yang transit di Sabah ke selatan Filipina bagi melancarkan serangan bunuh diri.

“Suspek juga menyalurkan dana kepada kumpulan Maute di selatan Filipina serta merancang untuk berjihad di Syria,” katanya.

Warga Bangladesh itu pula ditangkap di Kuala Kedah. Pembantu mekanik enjin kapal berusia 28 tahun itu disyaki menyokong kumpulan IS di Bangladesh.

“Suspek disyaki memiliki bahan-bahan kimia serta kepakaran untuk menghasilkan ‘improvised explosive device’ (alat letupan reka ganti),” katanya.

Semua yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan bawah BAB VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan dan akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma.

“Polis juga sedang berusaha untuk mengesan seorang lagi anggota IS yang disyaki bertindak sebagai fasilitator kepada anggota IS di Indonesia yang transit di Sabah ke selatan Filipina,” katanya.

Menurut polis, individu terbabit, “Marwan” berusia dalam linkungan 30-an dan alamat terkahirnya di Kampung Keritan Laut di Keningau, Sabah.

“Mana-mana individu yang didapati menyembunyikan sebarang maklumat, bersubahat atau melindungi individu berkenaan, boleh dituduh bawah Seksyen 130M, 130K dan 130L Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara 7 tahun hingga 30 tahun,” katanya.