Pendengaran awam akan dibuat mengikut keadaan, kata Khalid

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, pendengaran awam perlu dibuat jika pembangunan yang hendak dilaksanakan bertentangan dengan pelan yang digezetkan.

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad hari ini tidak menolak pendengaran awam akan dibuat untuk sesuatu projek di bawah Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020 dan 2040 selepas ia diluluskan.

Katanya, pendengaran awam bergantung pada 2 keadaan, iaitu pelan pembangunan yang sudah digezet dan semasa tiada pelan pembangunan yang digezet.

Jelasnya lagi, pendegaran awam sudah dilakukan dalam proses gezet dengan mengambi kira komen dan pandangan pelbagai pihak ketika proses gezet pelan pembangunan di Kuala Lumpur.

“Sebab itu, bila ada pembangunan dan mengikut apa yang sudah digezet, maka tidak perlu ada lagi pendengaran awam kerana ia telah diadakan dalam proses menggezet,” katanya kepada pemberita di Menara Seri Wilayah, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan presiden MCA, Wee Ka Siong yang mahukan Khalid membuat kenyataan yang lebih jelas kepada pemberita berhubung projek pembangunan di Kuala Lumpur sama ada ia memerlukan pendengaran awam ataupun tidak.

Sebelum ini, Khalid dilaporkan berkata, sebarang projek yang diluluskan di bawah Pelan KL 2020 dan 2040 tidak lagi mengguna pakai Kaedah 5 Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.

Berikutan itu, katanya, tiada lagi sesi pendengaran awam oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju yang akan membentangkan Laporan Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA) kepada penduduk selepas sesuatu projek pembangunan diluluskan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata pendengaran awam perlu dibuat jika pembangunan yang hendak dilaksanakan itu bertentangan dengan pelan yang digezetkan.

“Ini kerana perlu dijelaskan mengapa nak dilakukan pembangunan yang berbeza dengan apa yang telah digezet.

“Bila ada gezet, pendengaran lebih teliti sebab kita perlu jelaskan dengan terperinci.

“Saya harap Wee Ka Siong dah faham dengan jawapan saya. Sudah 3 kali saya ulang,” katanya.

Sementara itu, Khalid turut mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa khas bertujuan membantu Majlis Menteri menjalankan tugasnya.

Seramai 6 orang ahli Parlimen di Kuala Lumpur yang tidak memegang jawatan sebagai menteri, timbalan menteri dan duta dilantik sebagai ahli jawatankuasa untuk mengisi portfolio masing-masing.

Mereka adalah:

  1. Pendidikan – Nik Nazmi Nik Ahmad
  2. Pelancongan, Seni dan Budaya – Fong Kui Lun
  3. Belia dan Sukan – P Prabakaran
  4. Kesihatan dan Hal Ehwal Wanita – Dr Tan Yee Kew
  5. Trafik dan Infra – Lim Lip Eng
  6. Sosial dan Pembangunan Ekonomi – Ahmad Fahmi Fadzil

Jelas Khalid, surat pelantikan sudah pun diserahkan kepada setiap ahli Parlimen berkenaan semasa Mesyuarat Majlis Menteri yang diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 27 Mei lalu.

“Kebanyakkan portfolio ini akan dipengerusikan sendiri oleh Datuk Bandar DBKL. Saya sendiri akan mempengerusikan portfolio Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya sambil menambah keenam-enam ahli jawatankuasa itu tidak akan diperuntukkan sebarang elaun khas selepas dilantik.

“Mungkin kita boleh usahakan elaun kehadiran (sitting allowance) sahaja. Mereka akan dibayar setiap kali datang perjumpaan. Itu yang terbaik kami boleh cuba untuk dapatkan,” katanya.