Zaid Ibrahim setuju cadangan Najib tubuh RCI siasat 1MDB

Zaid Ibrahim.

PETALING JAYA: Pengulas politik Zaid Ibrahim bersetuju dengan cadangan bekas perdana menteri Najib Razak supaya ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi memeriksa keseluruhan isu berkaitan 1MDB.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, perbicaraan yang dihadapi Najib berhubung dakwaan penyelewengan dana berkaitan 1MDB mungkin tidak memberikan “gambaran menyeluruh” berkenaan perkara itu, sebaliknya sebuah RCI boleh menghilangkan kekaburan tersebut.

“Gambaran keseluruhan itu penting sekiranya kita benar-benar mahu perkara ini diselesaikan,” katanya.

Beliau memberi komen terhadap saranan Najib supaya sebuah RCI ditubuhkan seperti dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan rayanya sebelum ini. PH berkata, ia (RCI) merupakan 1 daripada 10 janji yang akan ditunaikannya dalam tempoh 100 hari ia berkuasa.

Najib membuat saranan tersebut sebagai respons terhadap gesaan penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya ditubuhkan sebuah RCI bagi menyiasat apa yang dinamakannya sebagai “the week of long knives operation of July 2015”, yang menyaksikan institusi penting demokrasi diganggu bagi menghalang pendakwaan terhadap bekas perdana menteri itu.

Tahun lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Putrajaya perlu “menyediakan pertuduhan yang konkrit” terhadap mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB sebelum ia menubuhkan RCI.

Zaid bagaimanapun berkata, sekarang adalah masa terbaik menubuhkan RCI memandangkan tidak adanya pilihan raya dalam masa terdekat yang boleh menimbulkan keraguan mengenai niat politiknya.

“Tidak seperti RCI yang diwujudkan sebelum pilihan raya umum lepas untuk menyiasat satu kes berusia 30 tahun,” katanya merujuk kepada inkuiri pada 2017 untuk menyiasat skandal tukaran mata wang asing yang berlaku pada 1990-an.

Ketika ditanya apakah penubuhan RCI tidak menjadi sub judice terhadap kes mahkamah berkaitan 1MDB yang sedang berjalan, bekas menteri undang-undang itu berkata, Jabatan Peguam Negara boleh berbincang dengan peguam bagi menentukan masa yang sesuai.

Zaid berkata, adalah lebih baik kerajaan menubuhkan RCI sekarang kerana orang ramai telah pun membuat komen mengenai kes yang dihadapi Najib.

“Saya tidak bersetuju dengan orang yang membuat komen semasa perbicaraan sedang berjalan,” katanya. “Tetapi jika anda membenarkan setiausaha politik Lim Kit Siang membuat komen, maka apakah bezanya?”. Beliau merujuk pada tweet Johan Syahredzan yang menyindir Najib berhubung kenyataan bahawa beliau sedih apabila mendapati dana dari anak syarikat 1MDB dimasukkan ke akaunnya.

Penasihat Suaram Kua Kia Soong memberitahu FMT bahawa beliau tidak terlalu teruja mengenai RCI. Kata beliau, “saya tidak terlalu berminat dengan RCI 1MDB melainkan mereka boleh melantik individu yang berwibawa serta bebas untuk menganggotainya.”

PH maupun Barisan Nasional tidak akan bersikap neutral, katanya.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, cabaran Najib supaya kerajaan menubuhkan RCI itu adalah satu helah untuk memperlihatkan beliau sebagai seorang mangsa.

“Jika kerajaan menolak penubuhan RCI, dia boleh mendakwa bahawa mereka tidak ada bukti dan dia dilayan secara tidak adil,” katanya kepada FMT.

Beliau mendakwa Najib mahu memulihkan imejnya dalam kalangan orang Melayu, yang menurut beliau, semakin percaya bahawa beliau memainkan peranan utama dalam skandal 1MDB.

Bekas presiden Transparency International Malaysia, Ramon Navaratnam berkata, adalah lebih baik sekiranya kes mahkamah diselesaikan terlebih dahulu sebelum RCI ditubuhkan.