2 NGO dibidas eksploitasi kanak-kanak sertai protes alam sekitar

NGO mengadakan bantahan terhadap perubahan iklim dan sampah plastik bersama 11 kanak-kanak di sebuah bazar Ramadan di Bayan Baru, Pulau Pinang minggu lalu. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Seorang ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini mendakwa 2 kumpulan pencinta alam sekitar mengeksploitasi kanak-kanak dalam bantahan mereka terhadap perubahan iklim dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) di sebuah bazar Ramadan di Bayan Baru Jumaat lalu.

Vino Dini Chandragason berkata, Klimate Action Utara Malaysia dan Klima Action Malaysia, menyalahgunakan peranan mereka sebagai badan bukan kerajaan dengan menggunakan kanak-kanak bagi menyampaikan mesej kepada pihak berkuasa.

Dua kumpulan itu mengadakan bantahan bersama 11 pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Ara yang dipuji Menteri Pendidikan, Maszlee Malik sebagai “pejuang alam”.

Bagaimanapun, Vino berkata, tindakan 2 NGO itu mengeksploitasi kanak-kanak untuk menyuarakan bantahan mereka jelas melanggar Akta Kanak-kanak 2001.

“Saya sedih NGO ini menyalahgunakan kuasa dan status mereka dengan membabitkan kanak-kanak di bawah 12 tahun untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap PTMP.

“Ini selepas banyak dialog diadakan ketua menteri Pulau Pinang dengan NGO menjelaskan projek itu penting untuk masa depan negeri dan menyelesaikan masalah kesesakan trafik,” katanya dalam mesyuarat MBPP di sini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana kanak-kanak itu mendapat kebenaran daripada pihak sekolah untuk menyertai bantahan itu dengan ada yang mamakai baju-T sekolah mereka.

Ahli MBPP, Vino Dini Chandragason menghadiri mesyuarat pihak berkuasa tempatan hari ini.

Beliau menggesa polis menyiasat perkara itu dan memastikan bantahan sedemikian diadakan secara sah.

PTMP ialah rancangan kerajaan Pulau Pinang untuk mempunyai satu rangkaian lebuh raya, pengangkutan awam dan pengangkutan lain yang akan dibina dalam masa 20 hingga 30 tahun akan datang pada harga RM46 bilion. Ia akan dibiayai 3 pulau yang akan dibina di selatan Pulau Pinang.

Satu daripada komponennya, Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) sudah mendapat kelulusan bersyarat Jabatan Alam Sekitar.

Pengetua SJK(T) Sungai Ara, Sangga Sinniah ketika dihubungi FMT berkata, satu laporan sudah dihantar kepada Jabatan Pendidikan sementara menunggu siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, seorang daripada pemimpin NGO itu memberitahu FMT pelajar itu menyertai bantahan berkenaan atas galakan ibu bapa yang menemani mereka sepanjang masa.