Hapus rasuah dalam aktiviti pelambakan sisa plastik, kata TI-M

Malaysia memutuskan untuk menghantar balik sisa plastik kotor yang diimport ke negara ini.

PETALING JAYA: Transparency International Malaysia (TI-M) berkata ia sangat terkejut berhubung takat pelambakan sampah asing di negara ini.

Dalam satu kenyataan semalam, TI-M juga berkata, ia menyokong penuh langkah segera Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin menyerbu tempat pelambakan sampah haram, selain mengalu-alukan pendirian kerajaan menghantar balik lebih 3,000 tan sampah itu ke negara asalnya.

“Jelaslah 3,000 tan sampah tidak menyusup melepasi sempadan kita dalam masa satu malam.

“Jumlah sampah yang sebegitu besar perlu dibenarkan melepasi Kastam dan seperti kata Yeo, sisa plastik tersebut diisytiharkan secara palsu.

“Bolehkah ini berlaku tanpa diketahui pihak berkuasa terbabit yang bertanggungjawab mengawal sempadan kita?”

TI-M berkata, sisa berkenaan perlu dibawa ke lokasi yang didaftarkan di bawah pihak berkuasa tempatan terbabit sebagai tapak pembuangan atau penyimpanan sampah.

Ia bertanya sama ada tapak tersebut disahkan dan diluluskan oleh pegawai majlis tempatan.

“Jelas baru-baru ini terdapat laporan mengenai individu berpengaruh dan bergelar menghalang pegawai penguat kuasa dan melindungi operasi haram berkenaan.

“TI-M dapati ketiadaan azam politik, kurangnya sokongan dan cabaran lain menghalang agensi penguatkuasaan undang-undang menjalankan tugas mereka.”